Kenangan Ibadah Haji

Salam buat para pembaca yang dihormati,

3 minggu rasanya sudah kami kembali daripada tanah haram. Cuma belum berkesempatan menulis. Saya kurang berminat untuk menulis catatan perjalanan kami, dan saya jangkakan isteri saya yang akan menulis tetapi kekangan-kekangan lain terlalu menghimpit.

Kami alhamdulillah telah selamat menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan seribu satu pengalaman mengiringi perjalanan kami. Bermula dari Irbid hinggalah sampai ke Madinah Al-Munawwarah dan kemudiannya ke Makkah Al-Mukarramah, saya kira perjalanan kami agak mudah walaupun kadang-kadang mencabar.

Sebelum berangkat ke tanah suci, meninggalkan buah hati kesayangan kami..

Kami dan majoriti (saya rasa semua) ahli rombongan haji kali ini menunaikan Haji Tamattu’, iaitu melaksanakan ibadah umrah dan kemudiannya haji. Ini adalah bentuk haji yang dikira paling mudah, memandangkan tempoh kami berihram paling minimum. Cumanya, kena bayar dam (seekor kambing). Ada 2 jenis haji lagi; Haji Ifrad (haji sahaja) & Haji Qiran (haji & umrah dilaksanakan serentak). Boleh rujuk laman ini; Al-Islam.com (Bahagian Haji)

Perjalanan kami untuk sampai ke Madinah memakan masa lebih dari sehari disebabkan urusan di sempadan Jordan & Saudi yang memakan masa. Kami terpaksa menunggu hampir 17 jam di sempadan! Alhamdulillah, persediaan mental dari awal memang menjaga jiwa saya yang agak suka naik radang dengan perangai Arab.

Ini merupakan kali pertama saya & isteri sampai ke tanah haram. Perasaan bila sampai di Masjid Nabawi dan juga ketika berhadapan dengan kaabah sangat-sangat unik. Saya lebih suka Masjid Nabawi kerana lebih tenang, mungkin kerana waktu kami tiba di Madinah, majoriti jemaah haji sudah berada di Makkah.

Selepas 2 hari di Madinah kami bertolak ke Makkah. Kami berniat ihram di miqat (Ibir Ali) dan kemudian meneruskan perjalanan sekitar 5 jam untuk ke Makkah. Pengalaman memakai pakaian ihram agak unik, khususnya bagi orang lelaki memandangkan kaum wanita masih boleh memakai pakaian berjahit, tetapi bagi kaum lelaki, hanya 2 helai kain yang tidak berjahit. Rasa agak pelik juga pada mulanya.

Kami sampai di Makkah pada pagi sabtu, 4 Zulhijjah. Hari itu, kami sempat selesai menunaikan tawaf umrah dan saie umrah. Bila dah selesai saie, bolehlah kami bertahallul dan terlepas dari pantang larang ihram. Hari-hari berbaki sehingga 10 Zulhijjah dihabiskan dengan iktikaf di Masjidil Haram walaupun ada waktu yang ‘terpaksa’ diluangkan untuk ‘shopping’ pakaian Asiah atas permintaan mak dia. Nak buat macammana, naluri si ibu.

Bermula dengan 10 Zulhijjah sehingga tamat ibadah haji kami, perjalanan kami mencapai kemuncaknya. Malam sebelum kami berwukuf di Arafah, sebahagian dari rombongan jemaah haji pelajar Malaysia dari Jordan termasuk kami sendiri terpisah disebabkan sikap pemandu bas yang buat hal sebab tak dapat tips. Kami dan beberapa orang lagi rakan-rakan yang ditinggalkan di Mina, terpaksa menaiki bas yang mengenakan tambang sebanyak 30Riyal (6 JD) seorang untuk perjalanan yang hanya sekadar 6 – 7 km. Perasaan marah & terkilan memang menghimpit tapi alhamdulillah ‘mind-setting’ dari awal sekali lagi menjadi pelindung tindak tanduk diri.

Pengalaman di Arafah agak unik walaupun meletihkan, kerana berjuta manusia berkumpul di situ. Oleh kerana kami tiba sebelum waktu subuh, maka kami dapat melihat bagaimana kawasan yang asalnya lengang walaupun ada sebilangan umat Islam lain, kemudiannya bertambah bilangan sedikit demi sedikit hinggakan hampir kesemua tempat dipenuhi manusia. Saya kira wukuf di Arafah merupakan secebis daripada gambaran manusia dikumpulkan di padang Mahsyar nanti walaupun perbezaannya mungkin sangat besar.

Jutaan manusia di Arafah sebelum berangkat ke Muzdalifah

Sekitar sebelum maghrib, jutaan jemaah haji mula bersiap sedia untuk memulakan perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah dan kemudiannya ke Mina. Berbeza dengan jemaah haji dari Malaysia, kami yang menunaikan haji di bawah urusan syarikat Arab pun terpaksa ikut ‘style’ Arab di sana. Kami pun turut bersama-sama dengan jutaan jemaah haji lain menunggu masuk waktu maghrib di kawasan berhampiran dengan Masjid Namirah. Bila masuk sahaja waktu maghrib, jemaah haji pun mula berjalan menuju ke Muzdalifah. Dengan izin Allah s.w.t juga, kami dipertemukan semula dengan rombongan jemaah haji kami dalam perjalanan tersebut. Semua ahli rombongan sangat gembira seolah-olah baru berjumpa dengan sanak saudara yang sudah lama terpisah. Bak kata Ustaz Mujahid, ketua rombongan kami, “haji ni samada akan mempererat ukhuwwah atau merenggangkan lagi silaturrahim”. Tak dinafikan, sepanjang haji ini pelbagai cabaran yang kita akan hadapi. Sikap saling bertolak ansur dan bantu membantu memang sangat penting. Alhamdulillah, Allah kurniakan pada kami nikmat pada ukhuwwah yang baik sepanjang perjalanan.

Dalam ibadah haji ini juga, kami banyak berjalan daripada menaiki pengangkutan. Isu pengangkutan awam sangat membebankan bagi jemaah haji yang menginap jauh dari Masjidil Haram. Kalau berduit takpa laa. Cuma saya agak kagum dengan isteri saya yang tabah berjalan dari Arafah ke Jamrah (hujung Mina) yang katanya sekitar 15 km. Ini juga pertama kali saya melalui pengalaman berjalan kaki sejauh itu dengan selipar dan ‘kain tuala’ putih. Macam nak pergi mandi tapi tandas jauh. Fuh!

Ketika melontar jamrah.. Allahu akbar!!

Selesai melontar jamrah.. Alhamdulillah..

Akhirnya setelah tamat menunaikan tawaf widak, kami dan rombongan jemaah haji Malaysia dari Jordan pun berangkat pulang ke Jordan. Balik memang tak sabar sebab dok teringat pada anak seorang tu yang dah ditinggalkan selama 2 minggu. Bas pulak tak boleh bergerak laju sebab muatan teramat berat. 2 hari dihabiskan untuk perjalanan pulang walaupun hanya 2 jam dihabiskan di sempadan (berbanding 17 jam ketika pergi).

Haji Aiman & Hajjah Asma'... Hajj mabrur InshaAllah..

Bila boleh tengok wajah Asiah masa sampai di rumah memang sangat menggembirakan. Yang tak gembira sikit, dia ‘durhaka’ pad ummi abah dia sebab 2 minggu duduk dengan ‘makcik-makcik’ jadi dah tak kenal kami. Lepas tu dah bertambah tembam. Apa la yang dibagi makan anak kami ni. Hu, hu. Tapi akhirnya umpan susu dan ‘serangan ciuman’ abah dia berjaya memujuk Asiah untuk kembali beraksi comel dengan kami.

Semoga pengalaman ini menjadi kenangan manis sepanjang hayat kami serta mengajar kami untuk lebih giat beramal. Memang tak dapat dinafikan walaupun hanya beberapa minggu berlalu, kami terasa amat rindu untuk kembali ke sana. Semoga kami berpeluang lagi untuk menjadi tetamuMu ya Allah..