Kita Mesti Kuat!

Kekuatan luaran itu lahir dari jiwa yang kuat!

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas..

…dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”

[Riwayat Muslim]

Sepotong hadis yang sudah biasa didengar sejak kecil, tapi baru kali ini saya berpeluang mendalami tafsirannya yang benar-benar menyentak hati. Ya, seminggu sebelum bermulanya fasa peperiksaan akhir inilah saya baru berkesempatan membacanya. Seolah-olah Allah menghantar mesej kepada saya untuk menyelami maksud di sebaliknya..

 

Mukmin Mesti KUAT

Kalau dulu, saya selalu dengar hadis ini ketika hari sukan sekolah. Inisiatif para guru untuk menggalakkan anak-anak didik bersukan dan memiliki fizikal yang kuat. Memang benar, kekuatan fizikal buat seorang mukmin itu sangat penting. Apatah lagi buat seorang daie yang bekerja di atas jalan dakwah. Badan mesti ‘fit’, barulah kerja jalan.

Kekuatan yang dimaksudkan di sini bukanlah bermakna semua orang kena ada badan berketul-ketul seperti jaguh bina badan.. tidak. Kalau ada tu ekstra. Apa yang penting di sini adalah tubuh badan yang sihat, jauh dari penyakit-penyakit yang melemahkan.

Islam memang sangat mementingkan hal kesihatan tubuh badan. Sebab itulah salah satu daripada kewajipan seorang akh muslim itu adalah dengan melakukan pemeriksaan perubatan yang menyeluruh dan berusaha merawat segala penyakit yang ada pada dirinya. Seorang akh muslim juga  hendaklah mengambil berat aspek kekuatan dan penjagaan badan serta menjauhkan diri daripada segala punca yang melemahkan tubuh badan.

Kebetulan tafsir ini saya baca ketika menunggu giliran untuk cabut gigi di markaz sihhi. Memang terkena tepat di batang hidung. Berapa kali sangatlah saya ke klinik gigi. Asyik bertangguh. Bila dah sakit gigi baru terhegeh-hegeh ke klinik dan akhirnya terkorban sebatang gigi. Ini baru sakit gigi. Belum lagi penyakit-penyakit kronik yang lain. Sungguh besar nilai ‘sihat’ itu, tetapi kita jarang bersyukur.

Bukan setakat itu, kita juga mesti mencegah penyakit itu sebelum ia datang. Bukankah tubuh kita ini hanya pinjaman dari Allah, maka kita mestilah menjaganya dengan sempurna. Takkanlah nak pulangkan barang yang kita pinjam dalam keadaan ‘rosak’. Banyak benda yang kita pandang ‘remeh’di sekeliling kita tapi sebenarnya memberi impak yang besar pada kesihatan kita. Benda paling mudah adalah makanan.

Orang kata, kita adalah apa yang kita makan. Tapi kebanyakan orang sangat tidak mangambil berat perkara ini. Makan ikut suka hati, janji sedap, perut kenyang, hati senang. Sedangkan kita sendiri tahu di zaman moden ini terlalu banyak makanan yang diproses yang membahayakan kesihatan kita. Ini belum kira lagi makanan-makanan yang tinggi kalori. Dimakan pula dengan kuantiti yang berlebihan. Lepas makan terus mata jadi ‘berat’, kerja pun tergendala. Adakah ini yang dinamakan ‘muslim yang produktif’? Tidak.. makanan yang sepatutnya memberi tenaga sebaliknya melembabkan badan dan otak. Kita tidak mahu daie yang ‘lembik’!

Ini baru kisah makanan. Banyak lagi sebenarnya perkara yang kita perlu ambil berat seperti riadhah, bersukan dan sebagainya yang boleh memaksimakan tahap kesihatan kita. Kerana kesihatan itu anugerah yang sangat berharga, aset penting buat seorang daie berjaya.

Jika kita merasa lemah, yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama..

Kekuatan LUAR & DALAM

Islam itu syumul. Bukan sahaja kekuatan luaran yang perlu kita pentingkan, tetapi kekuatan dalaman juga sama penting. Kerana dakwah ini merupakan satu proses yang panjang dan berterusan. Di dalamnya penuh dengan cabaran dan rintangan yang bisa menjatuhkan orang yang lemah jiwanya.

Di sekeliling kita terlalu banyak iktibar yang kita boleh ambil daripada orang-orang yang dianugerahi kekuatan jiwa yang luar biasa. Contoh paling dekat yang kita boleh lihat adalah As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Beliau tidak mampu melihat, tidak mampu berjalan.. tetapi kekentalan jiwanya berjaya membakar semangat para pejuang Islam seluruh dunia. Kata-katanya walaupun ringkas berjaya mem’basah’kan hati-hati yang ‘kering’. Subhanallah…

Hanya mukmin yang kuat jiwa yang mampu mengharungi segala onak dan duri di jalan yang panjang ini. Hanya mukmin yang kuat jiwa yang mampu menahan kata-kata ejekan dan kejian yang tak pernah surut. Hanya mukmin yang kuat jiwa mampu memberikan sepenuh masanya, tenaganya, duit poketnya untuk dakwah.

 

Kerana Allah Lebih Sayang

Kerana Allah lebih menyukai mukmin yang kuat! Jika kita lemah fizikal tapi kuat jiwa, Allah sayang. Jika kita kuat fizikal tapi lemah jiwa, Allah juga sayang. Tetapi jika kita kuat fizikal & kuat jiwa, Allah lebih sayang. Tak mahukah kita menjadi ‘kesayangan Allah’?

“…oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas..”

Berusahalah sedaya upaya untuk mencapai kekuatan luaran & dalaman semaksima mungkin. Janganlah hanya berharap kekuatan itu dtang bergolek sebab Allah tidak suka orang yang malas. Saban hari saya di hospital melihat pelbagai jenis manusia yang terlantar sakit di hospital amat menginsafkan saya. Betapa besarnya nikmat sihat.

 

Bahaya ‘Kalau..’

“….dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”

Setelah kita mengambil segala ‘asbab’ untuk menjaga kekuatan & kesihatan luaran & dalaman kita, dan berserah padaNya, tetapi Allah mentakdirkan sesuatu tidak seperti yang kita inginkan, seperti kita ditimpa penyakit, musibah yang melemahkan semangat, dan sebagainya.. redhalah dengan ketentuannya. Janganlah berkata ‘kalau..’ kerana ia membuka jalan syaitan. Syaitan akan membisikkan dalam hati kita agar marah, kecewa dan kesal dengan takdirNya. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik buat diri kita. Dia mengetahui apa yang kita tidak tahu. Dan yakinlah bahawa untuk setiap usaha kita ada ganjaran di situ, biar apa pun natijahnya.

 

Jadilah Mukmin Yang Kuat

Alhamdulillah, mesej ini telah sampai kepada saya tepat pada masanya. Tanda Allah sayang. Bukan mudah sebenarnya untuk saya sampai ke tahap saya sekarang. Pelbagai ujian dan cabaran terpaksa dihadapi. Selepas saya kehilangan kandungan saya sehari sebelum peperiksaan akhir Paediatrics yang lalu, hadis inilah yang menjadi motivasi buat saya. Oleh itu, saya ingin berkongsi ‘kekuatan’ yang saya dapat ini dengan ikhwah akhawat semua… Semoga kita semua menjadi hamba yang paling disayangiNya, ameen..

 

 
 
Dr. Asma’ Ahmad Khalid,
MBBS JUST ‘11
28/05/2011, 10:01 a.m