Muhasabah Ramadhan

Lama saya termenung pagi ini. Bertafakur, memikirkan hari-hari Ramadhan yang telah berlalu. Memikirkan apa yang telah saya dapat sepanjang 29 hari di madrasah Ramadhan tahun ini.. Jujurnya, saya masih tidak berpuas hati dengan pencapaian kali ini.

Separuh Ramadhan saya tahun ini diisi dengan ‘tagging’. Istilah yang dipakai bagi HO yang baru memasuki jabatan baru. Setiap hari bekerja dari 7 pagi hingga 10 malam selama 2 minggu.  Memang meletihkan. Tak merasa udara segar selama 2 minggu. Terlepas pelbagai jemputan iftar. Tarawih di masjid apatah lagi.

Apa pun, saya telah mencuba apa yang termampu untuk menyeimbangkan antara kerja & tanggungjawab yang lain. Kelam-kabut juga hidup dibuatnya. Mujur juga suami memahami kesibukan saya. Sahur ala kadar sahaja setiap hari. Tapi Alhamdulillah kami tak pernah terlepas sahur sepanjang Ramadhan.

Bertolak ke hospital selepas Subuh setiap hari. Saya gagahkan juga mencuri-curi masa di hospital untuk bertilawah al-Quran. Walaupun speednya tak seberapa, saya kira itu lebih baik dari tak buat langsung. Pulang ke rumah jam 10 malam dalam keadaan tubuh yang sudah terlalu letih. Apa yang saya buat, saya bertarawih 4 rakaat sahaja sebelum tidur dan baki 4 rakaat lagi saya lakukan sebelum Subuh. Memang tak ideal tapi lebih baik dari ditinggalkan terus.

Sayu juga hati bila si kecil Asiah yang tak memahami kesibukan ibunya ini, bertanya setiap kali saya pulang ke rumah.. “Kenapa Mama ni asyik kerja lewat-lewat je?” Jadi untuk mengganti semula masa bersamanya, kami sekeluarga berbuka puasa bersama-sama di hospital hampir setiap hari. Biarpun hanya setengah jam, cukuplah bagi si kecil merasa kehadiran ibunya di sisi.

Hidup memang tak akan pernah ideal, kerana kita hidup dia alam realiti. Tapi selagi mampu, cubalah untuk mendapatkan yang terbaik dalam hidup. Kita selalu fikir, kalaulah aku bercuti sepanjang Ramadhan bolehlah aku beribadah banyak-banyak. Tapi realitinya tak akan jadi begitu. Lebih banyak masa lapang, lebih banyaklah kita membuang masa. Bukankah kerja itu juga ibadah? Setiap ibadah kita akan dilipat gandakan pahalanya di bulan Ramadhan.  Maka seharusnya kita bekerja lebih gigih lagi.

Tak banyak masa berbaki sebelum Ramadhan meninggalkan kita. Jom manfaatkan hingga minit terakhir!

 

Image

About these ads