Tarbiyyah rebung buluh

rebung

 

“Selamat Hari Lahir kakak…,” ucap Ummi sambil menghulurkan sebuah bungkusan.

Senyuman lebar terukir di bibir kecil saya seraya menyambut hadiah tersebut lantas membuka bungkusannya.

Seperti biasa, Ummi menghadiahkan beberapa buah buku cerita bergambar Siri Kisah-kisah dari al-Quran. Ummi memang tahu benar minat puterinya yang seorang ini. Saya memang gemar membaca sejak kecil lagi.

 

Saya masih ingat, buku pertama yang saya berjaya habiskan membaca sendiri bertajuk ‘Ibrahim dengan Raja Namrud’ ketika saya berusia 5 tahun. Sewaktu di Perlis dahulu, setiap Jumaat saya akan menghabiskan masa lebih kurang empat ke lima jam di Perpustakaan Awam Perlis,Kangar sementara menunggu Abi ke tempat kerja. Saya bersekolah di Kedah, sebab itulah Jumaat cuti manakala Abi & Ummi bekerja di Perlis yang hanya bercuti pada Sabtu & Ahad seperti negeri-negeri lain. Setiap minggu saya ke perpustakaan dan membaca berpuluh-puluh buah buku cerita kerana Abi berjanji untuk memberikan hadiah bagi setiap seratus buah buku yang saya baca. Berkobar-kobar semangat saya untuk membaca buku dan mencatat setiap tajuk buku yang saya baca dalam sebuah buku log. Begitulah strategi Abi untuk menggalakkan minat membaca saya di samping mengisi masa saya dengan perkara bermanfaat. Saya juga bijak ber’strategi’. Saya memilih kebanyakan buku-buku yang nipis untuk dibaca di perpustakaan bagi membanyakkan bilangan buku manakala buku-buku yang agak tebal saya pinjam untuk dibaca di rumah. Walau bagaimanapun, tidak sia-sia usaha Abi itu. Sehingga kini, saya menjadi seorang yang amat gemar membaca dan mahir menulis sehinggakan sewaktu saya darjah 4, saya telah dilantik menjadi setiausaha bagi semua kelab dan persatuan yang saya sertai termasuklah Badan Pengawas.

Sewaktu saya di sekolah rendah, Ummi kerap membeli buku-buku cerita yang menarik atau Kamus sebagai hadiah hari lahir saya. Pernah suatu ketika, waktu itu rasanya saya masih darjah tiga. Ketika cuti akhir tahun, Ummi belikan saya set Carta Bahasa Arab (sejenis alat bantu mengajar yang berbentuk carta jam untuk memudahkan pelajar membina ayat dalam bahasa arab). Dengan carta itu, Ummi suruh saya bina sebanyak seratus ayat sehari sehingga genap seribu ayat. Saya pun melakukannya dengan hati girang sebab Ummi janji untuk memberikan hadiah. Walaupun pada mulanya saya buat kerana hadiah, namun lama-kelamaan saya buat kerana minat. Akhirnya, lebih seribu ayat saya tulis. Usaha Ummi ini juga amat berhasil kerana semenjak itu saya menjadi mahir membuat karangan ringkas Bahasa Arab.

Selain itu, Ummi memang membiasakan diri bertutur dengan saya dalam Bahasa Inggeris di rumah. Pada mulanya saya agak rimas kerana agak kurang memahami apa yang Ummi kata. Namun, lama-kelamaan saya jadi biasa.

Saya juga telah menghafal al-Maathurat seawal usia 8 tahun. Mana tidaknya, setiap hari saya mendengar Abi mengalunkan al-Maathurat ketika menghantar saya ke sekolah. Ketika saya berusia 10 tahun pula, Abi guna metod baru. Abi buat satu boring mutabaah amal dan lekat di pintu bilik saya. Antara isinya adalah solat berjemaah, baca al-Quran, mengemas bilik, menolong Ummi & Abi dll. Setiap hari saya akan tanda amalan yang saya buat pada jadual tersebut. Sampai hujung minggu, Abi akan kira markah. Kalau lebih 90%, Abi akan bagi duit poket sebanyak RM6 untuk minggu depannya. Kalau markah sedikit, kuranglah duit poket untuk minggu tersebut. Saya dan adik saya berlumba-lumba untuk mendapat markah banyak. Seingat saya, waktu itu saya tak pernah dapat duit poket kurang dari RM6 seminggu.

 

Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bila rebung dah jadi buluh, tak boleh dilentur lagi. Nanti patah. Sedangkan rebung masih lembut, lenturlah mengikut kemahuan kita.

 

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. telah bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) seperti kain putih, maka ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Tarbiyyah sebenar bermula dari rumah, dari tangan kedua ibu bapa sendiri. Bukanlah tanggungjawab cikgu-cikgu di sekolah semata-mata. Untuk menjadi ibu bapa yang mentarbiyyah anak-anak juga bukanlah kerja senang. Ibu bapa itu sendiri perlu ditarbiyyah terlebih dahulu. Untuk menjadi murabbi hebat buat anak-anak, dari sekarang (zaman muda) kita perlu melengkapkan diri kita dengan fikrah dan kefahaman Islam sebenar serta membiasakan diri dengan cara hidup Islam yang sebenar. Ada orang pernah beritahu saya, pendidikan seorang anak itu bermula sepuluh tahun sebelum anak itu lahir.(wow!) Oleh itu, bersedialah dari sekarang sebab anda semua adalah bakal-bakal ibu dan bapa.