Sepekat setitis nila…

drop

Dulu-dulu waktu mula-mula masuk sekolah menengah, akak-akak senior suka rendam baju sekolah dengan nila. Kata mereka, baju sekolah kan putih. Lama-kelamaan akan jadi lusuh, sebab itulah guna nila. Baju akan nampak macam baru. Ooo,baru saya faham. Waktu sekolah rendah dulu saya memang tak kenal nila sebab baju sekolah saya memang warna biru. Tapi di sekolah menengah ni lain pula. Baju warna putih, senang lusuh. Akak senior se’dorm’ suggest pakai nila. Katanya kita kena jaga personaliti supaya sentiasa tampak kemas. Jaga personaliti bukan bermaksud kena ber’make-up’ sampai jadi hantu. Tapi, mesti jaga kekemasan diri supaya lebih yakin dan disenangi ramai. Itulah juga ciri-ciri daie, jaga personaliti. Memang kita disarankan zuhud, tapi zuhud tak bermaksud kena pakai selekeh. Bahkan zuhud yang bersederhana tetapi kemas, baru ada ‘umph’.

Bercakap tentang nila, saya teringat satu analogi mengenai teori setitis nila. Seperti yang kita tahu, nila merupakan sejenis pekatan berwarna biru yang sangat pekat. Setitis nila sahaja mampu merubah sebaldi air jernih menjadi kebiruan, lalu digunakan untuk mencantikkan pakaian putih.Sehinggakan wujud kata pepatah, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Hebatnya nila !! Tapi bergantung juga pada kepekatan nila tersebut, kalau nila itu cair kesannya tak nampak bahkan mungkin langsung tak disedari. Tapi andainya nila itu benar-benar pekat, hanya dengan setitis sahaja mampu merubah warna sebelanga susu. Memang hebat.

Begitu juga bagi seorang dai’e. Jika mahu merubah persekitaran, dai’e itu mestilah benar-benar pekat. Jika dai’e itu sendiri cair, bukan persekitaran yang berubah. Bahkan dirinya sendiri mungkin larut.

Pekat bagaimana??
Tentu sekali pekat dalam segala segi. Fikrah dan sahsiah terutamanya. Seorang dai’e mesti jelas dan faham fikrah dengan sebenar-benarnya. Faham dengan hati, faham dengan dalam, dan faham dengan betul. Barulah kita boleh menyampaikan fikrah Islam yang tulen kepada semua orang sekali gus menunjukkan keindahan dan kehebatan Islam kepada seluruh manusia. Dengan kefahaman yang mantap, barulah iman kita teguh dan tidak mudah goyah, bahkan akan terserlah dalam sahsiah kita.

Tapi bagaimana nak jadi ‘pekat’??
BINGO, soalan cepumas. So, jawapannya pun mesti cepumas juga. Bagaimana ya? Nak jadi betul-betul ‘pekat’ bukan senang. Ia memerlukan proses saringan yang berperingkat. Bukan boleh jadi dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa yang agak lama. Bukan juga boleh disaring ala-ala kadar sahaja bahkan perlu sangat teliti untuk mengekstrak nila yang benar-benar pekat. Memang susah, leceh, dan ‘renyah’ (bak kata orang utara)…tapi hasilnya kelak menakjubkan. Maka untuk kita jadi ‘pekat’ begitu juga. Perlu mengalami tarbiyyah yang panjang dan berterusan. Disaring pula dengan ujian-ujian agar lebih mantap. Diadun fikrah Islam kita dengan teliti agar ia jadi benar-benar tulen dan asli. Sunnah dakwah, jalannya panjang dan memenatkan. Diuji pula dengan kesusahan. Tapi pulangannya sangat menguntungkan. Allah janjikan syurgaNya untuk mereka yang sanggup menjual jiwa di atas jalanNya. Sedangkan jiwa kita ini memang milikNya, yang hanya dipinjamkan kepada kita sementara cuma.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud ;
” Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”

(At-Taubah : 111)

Inilah tugas kita sekarang, untuk memekatkan ‘nila-nila’ bagi membentuk ‘rijal’. Maka tidak boleh tidak, kita mestilah bekerja keras kerana nila yang pekat itu tidak akan terhasil hanya dengan kita duduk bergoyang kaki. Kembali pada seerah, contohilah cara Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabat sehingga menjadi sepekat-pekat nila. Bayangkan, mukmin pada waktu itu teramatlah sedikit bilangannya. Tapi disebabkan ke’pekat’an peribadi & nilai, mereka berjaya menaikkan Islam hingga mengungguli dua pertiga dunia. Samalah seperti esen nila yang pekat, biarpun hanya setitis namun kesannya berjaya merubah sebelanga susu. Renungkanlah dan bertindak segera!!!