3 Persoalan

Persoalan

Salam para pembaca sekalian. Akhirnya saya diberi kesempatan untuk menulis di sini. Kadang-kadang ada kekangan masa, tetapi selalunya kekangan idea. Alhamdulillah, kali ini diberi keizinan oleh Allah s.w.t.

Disebut dalam sebuah kitab tulisan Asy-Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan bertajuk Usul Dakwah, bahawa manusia ini padanya berlegar-legar 3 persoalan utama dalam kehidupannya.

Persoalan 1: Dari mana kita datang?

Persoalan 2: Kenapa kita diciptakan?

Persoalan 3: Ke mana kita akan pergi?

Hakikatnya, persoalan-persoalan ini secara lumrahnya wujud dalam setiap insan, samada dia berbangsa Arab, Melayu, Afrika ataupun beragama Islam, Hindu, Kristian hatta pada golongan pagan (Ateis).

Mungkin anda terfikir, kenapa pada kali ini saya melontarkan persoalan-persoalan ini? Sebenarnya kalau kita lihat dengan teliti, persoalan-persoalan inilah yang mewujudkan pelbagai perbezaan, dan juga perubahan yang kita boleh lihat samada di zaman yang lalu atau pada masa sekarang.

Kerana ingin mencari jawapan kepada persoalan-persoalan inilah banyak cabang-cabang ilmu (malah mungkin kesemua) yang kita lihat hari ini dicipta. Bagaimana mungkin ada ilmu biologi kalau tidak kerana keinginan manusia untuk mengetahui dari mana datangnya mereka? Kalau tidak kerana persoalan-persoalan ini, maka kita umat Islam mungkin tidak akan berbeza dengan umat agama lain. Contohnya, umat Islam tidak minum arak kerana mentaati perintah pengharaman minuman tersebut dan akan dibalas di atas perbuatan itu, tetapi golongan pagan tidak berfikiran sedemikian kerana padanya tidak ada apa-apa ikatan.

Kita umat Islam meyakini bahawa kita (manusia) dicipta oleh Allah s.w.t, dicipta dengan tujuan untuk beribadat kepadaNya dan menjadi khalifah di muka bumi, dan akhirnya apabila kita mati, kita akan kembali kepadaNya untuk dihitung amalan dan diberi balasan setimpal dengan amalan kita.

Ingin saya tekankan di sini, bahawa kefahaman kita (umat Islam) terhadap 3 persoalan ini adalah sangat-sangat penting. Kefahaman melahirkan perbuatan/ amalan. Ketidakfahaman kita dalam persoalan-persoalan ini kemungkinan besar akan mengarahkan kita ke suatu jalan yang menyimpang dari hakikat yang sebenar yang mana akhirnya akan memusnahkan kita.

Akhirnya, semoga Allah s.w.t melimpahkan kepada kita semua dengan kurniaNya yang bukan sahaja dalam bentuk maddi (material) tetapi lebih-lebih lagi dalam bentuk hidayah yang hakiki.

” اللهم نوّر قلوبنا بنور هدايتك “