Nikmatnya Susah, Peritnya Senang…

perjuangan

Salam sejahtera buat sekalian sahabat alam maya. Agak lama sebenarnya tak menjenguk blog kesayangan ni, rasa rindu pula. Mungkin kerana kepadatan aktiviti yang memenuhi masa yang ada… atau mungkin juga saya yang tidak pandai mengurus masa… atau mungkin juga banyak lagi perkara lain yang lebih penting yang perlu didahulukan… wallahu a’alam.

Terdorong untuk menulis entry kali ini khusus buat adik-adik tersayang, juga boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambil manfaat. Maaf sebab respon agak lambat *smile*. Bila bersembang-sembang dengan adik-adik tempoh hari, banyak luahan hati yang akak dengar. Biasalah tu dik, hidup ni kalau tiada ujian tiadalah warnanya. Ujian-ujian itulah sebenarnya yang mewarnakan hidup kita agar lebih ceria, yang menambah rasa agar lebih enak…setuju tak? Kita diuji tandanya Allah ingat pada kita… Kita diuji untuk menambahkan kematangan & meningkatkan keimanan. Semakin hebat ujian yang kita terima, semakin kuatlah iman kita pada Allah.

Cuba adik-adik pejam mata & bayangkan…

Seekor beruk bernama Doremi sedang berehat-rehat di dahan sebatang pokok sambil makan pisang & bergoyang kaki. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Seronoknya dia… Sedang Doremi asyik menikmati pisangnya itu, angin bertiup kencang secara tiba-tiba. Doremi lantas mencapai dahan berdekatan dan berpaut padanya dengan sekuat hati agar tidak terjatuh tanpa langsung mempedulikan pisang enaknya itu yang tercampak entah ke mana.

monkey

Begitulah manusia… Bukan nak samakan manusia dengan si beruk Doremi, Cuma nak membuat satu analogi. Hakikatnya, kita sekarang hidup di zon selesa. Bersenang-lenang dengan kehidupan selesa kita. Namun apabila datangnya ujian, barulah kita akan sedar dan mula mencari pedoman lantas meninggalkan kemewahan dan keselesaan hidup asalkan kita selamat. Bila kita diuji, barulah kita akan lebih berpegang teguh dengan tali Allah, barulah keimanan kita bertambah teguh. Samalah seperti si beruk Doremi tadi, bila angin kencang bertiup, barulah dia berpegang erat pada dahan pokok tersebut dan tak menghiraukan langsung nikmat pisang yang dimilikinya asalkan dirinya selamat.

Itulah ujian yang sering disalah tafsir oleh kebanyakan kita. Janganlah menganggap ujian itu satu kehinaan bahkan yakinlah bahawa ujian tersebut tanda Allah sayang sangat-sangat pada kita. Sedangkan Saidina Ali menangis apabila tidak diuji kerana bimbang Allah melupakannya.

Satu perkara lagi yang akak nak cerita adalah tentang kelalaian kita terhadap ujian. Hemm…apakah maksudnya itu?? Ramai antara kita yang sedar apabila diuji dengan kesusahan, tapi malangnya lebih ramai yang leka dengan ujian kesenangan. Bahkan ujian berbentuk nikmat ini sebenarnya lebih sukar kerana ia dikaburi indahnya ’nikmat’ sehingga ramai yang leka. Seperti tenggelamnya Qarun di dasar bumi dan lemasnya Firaun di Laut Merah… lantaran leka dengan ujian kesenangan yang dikurniakan buat mereka. Akak rasa, ia lebih merbahaya. Maka buat adik-adik akak yang tersayang, sentiasalah peka dengan segala ujian samada berbentuk kesusahan atau kesenangan.

Adik-adik yang akak sayang, renungilah kalam ar-Rahman yang bermaksud:

Alif laam mim… Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ”Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji?? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta” [Al-Ankabut: 1-3]

Adik-adik tercinta,

Sahabat-sahabat dahulu diuji lebih dahsyat dari kita. Khabbab bin ’Aradh disalai tubuhnya di atas api sehingga api tersebut terpadam oleh minyak yang keluar dari badannya sendiri. Ashabul Ukhdud dibakar hidup-hidup di dalam api sambil disaksikan pembesar-pembesar Najran yang bergelak ketawa melihat mereka disiksa. Bilal dihempap dadanya dengan seketul batu besar yang berat. Semua siksaan ini diterima oleh mereka hanya kerana satu KALIMAH TAUHID yang lahir dari hati mereka. Hanya kerana mereka beriman dengan keEsaan Allah. Tak lebih dari itu. Sedangkan kita baru diuji sedikit sudah melatah…

”Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang padamu (ujian) seperti yang dialami orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diuji (dengan pelbagai dugaan) sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: ’Bilakah akan datang pertolongan Allah?’ Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat” [al-Baqarah: 214]

Fikirlah dengan hati, fahamlah dengan iman, dan amalkanlah dengan anggota…Semoga beroleh manfaat..

Uhibbukum fillah…^_^