Juadah paling istimewa

Sudah menjadi resam kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Perpisahan itu memang menyakitkan, memang menyiksakan… tapi perpisahanlah yang mengajar erti sebenar sebuah pertemuan, erti sebenar hidup. Perpisahanlah yang menjadikan kita lebih menghargai apa yang kita ada. Perpisahanlah yang mengajar kita erti sabar. Perpisahanlah yang menjadikan kita lebih kuat.

Ramadhan yang tiba hampir berlalu tanpa kita sedar. Terutamanya buat mereka yang sibuk dengan pelbagai urusan hingga terasa sekejapnya masa. Terasa bagai belum puas mengecap saat indah bersama. Sedangkan tahun hadapan masih belum pasti bertemu lagi… pedihnya sebuah perpisahan… Moga detik-detik yang berbaki ini dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

” مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ”

Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya  yang terdahulu”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Masih belum terlambat untuk kita mengejar mutiara Ramadhan sementara masih ada sedikit waktu yang berbaki ini. Betapa pengasihnya Allah menghadiahkan Ramadhan untuk kita. Bayangkanlah, semua amalan yang kita lakukan di bulan ini diberi pahala berlipat kali ganda. Amalan sunat diberi pahala amalan fardu, amalan fardu apatah lagi. Dengan amalan kita yang tak seberapa, ditambah pula dosa yang bertimbun… alangkah ruginya kalau kita tidak mengambil peluang yang Allah sediakan khas untuk kita. Dijanjikan pula pengampunan dari dosa-dosa yang lalu… betapa sayangnya Dia pada kita.

Alhamdulillah, hari ini saya sudah mula bercuti. Bolehlah berehat sebentar dari kesibukan duniawi. Bukan nak kata kuliah tu tak bermanfaat, memang ia juga merupakan satu ibadah yang akan diberi pahala. Tapi sebagai manusia, kita juga perlu memberi makanan pada ruh kita yang seringkali diabaikan dek kesibukan harian kita. Sebagaimana jasad kita perlu berbuka setelah seharian berpuasa, begitu jugalah ruh kita yang perlukan makanan. Saya mengajak diri saya & sahabat-sahabat untuk menyediakan juadah paling istimewa, enak & lazat untuk santapan ruh kita agar ruh kita kembali segar & bertenaga… Janganlah puasa kita hanya sekadar lapar & dahaga, alangkah ruginya… alangkah ruginya…

Sabda Rasulullah s.a.w. :

” رُبَّ صَآئِمٍ لَّيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوْعُ وَالْعَطْشُ ”

Maksudnya : ” Berapa ramai orang yang berpuasa, tatapi tidak mendapat sesuatupun dari puasanya selain dari lapar dan dahaga ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ucapan buat Ummi tersayang…

26 SEPT 1966, insan paling bermakna dalam hidup saya lahir ke dunia… kini genap 42 tahun Ummi mengharungi liku-liku kehidupan, sehingga menjadi Ummi yang amat kami kagumi sekarang. Ummi adalah inspirasi kami… kesungguhan & ketabahan Ummi mentarbiyah & membesarkan kami amat kami hargai. Kesabaran Ummi melayan kerenah kami adik-beradik tidak terbayar dengan wang ringgit. Tanpa Ummi, siapalah kami… Terima kasih Ummi, kami sayang Ummi…

Selamat Hari Lahir Ummi