Nostalgik nostalgia Ramadhan

Sudah hampir dua dekad rupanya saya melalui madrasah Ramadhan… dari saat saya tak mengerti apa-apa hinggalah saat saya mula mengerti erti Ramadhan dan merasai kemanisannya. Dari saat saya seorang kanak-kanak riang yang hanya tak sabar nak raya hinggalah menjadi seorang matang yang sedih bila Ramadhan nak berakhir. Masih terbayang-bayang lagi nastalgia indah itu. Saya kini pun bukan lagi kanak-kanak, saya sudah dewasa. Dah jadi isteri orang pun, ‘mak orang’ belum lagilah😀 Macam-macam pengalaman saya harungi sepanjang dua dekad Ramadhan dalam hidup saya.. best juga kadang-kadang mengingat kisah silam, sampai kadangkala boleh membuatkan saya tersenyum seorang diri.

20 tahun dulu…

Waktu masih baby di New York, USA

Masih baby, tak tau apa-apa. Tapi Ummi pernah cerita, dulu di US waktu Ummi solat tarawikh saya asyik menangis je. Sampai Ummi terpaksa berhenti sekejap setiap dua rakaat solat utk diamkan saya. Sabar betul Ummi layan kerenah anaknya yang seorang ni. Semoga Ummi dapat ganjaran yang setimpal dari Allah. Thanks Ummi… Nanti kalau Along dah ada anak InsyaAllah Along akan cuba sabar macam Ummi ye.

Satu kisah lagi di US (yang Ummi cerita), waktu nak berbuka puasa beramai-ramai di masjid.. ada sorang mak cik tuang air teh panas untuk muslimat. Entah macam mana, tertumpah atas kaki saya. Apa lagi, meraunglah saya sekuat hati waktu tu sebab kaki melecur. Sampai sekarang parut tu masih ada di kaki kiri saya. Parut tu bentuk unta, agaknya memang dah jodoh saya dengan Jordan.

Waktu tadika…

Ketika berumur 4 tahun, bergambar di hadapan rumah Wan Pahang

Saya mula puasa umur 5 tahun. Puasa penuh. Paling saya ingat waktu di Tadika Huda, Kangar cikgu akan beri kuih untuk mereka yang berpuasa bawa pulang setiap hari. Sangat seronok walaupun ada kawan-kawan yang balik rumah terus makan kuih tu, biasalah budak-budak. Tapi bila bulan puasa dah habis, cikgu bagi hadiah special untuk yang berpuasa penuh sepanjang Ramadhan. Saya antara yang dapat hadiah tu… best.

Ada sekali tu, saya & angah puasa macam biasa. Waktu tu angah baru 3 tahun. Dia beriya nak puasa sebab tengok kakak dia puasa. Tapi kesian tengok Angah lesu je pertama kali puasa tu. Petang tu Abi beli aiskrim untuk berbuka, hadiah buat kami yang gigih berpuasa. Tapi yang kelakarnya, sementara tunggu waktu nak berbuka tu Angah dah terjilat aiskrim dia yang dah nak menitik sedangkan lagi beberapa minit saja lagi nak berbuka…

Zaman sekolah rendah,

Waktu darjah 4 rasanya, time ni kat Perlis

Tiap-tiap tahun saya puasa penuh sebab nk duit raya banyak. Ummi & Abi janji akan bagi seringgit untuk setiap hari yang puasa. Kalau puasa penuh dapatlah 30 ringgit waktu raya. Sangat bersemangat saya puasa sebab nak 30 ringgit. Zaman tu 30 ringgit ni kira sangat tinggi nilainya, bukan macam sekarang. Memang tak ikhlas betul puasa. Tapi bila dah besar sikit dah tak kisah duit tu, puasa memang sebab nak pahala. Siap khatam satu Quran penuh bermula darjah 4 atau 5 (tak berapa ingat). Tapi Ummi & Abi masih bagi 30 ringgit tu, hadiah dunia katanya. Hadiah akhirat kena tunggu nantilah.

Ramadhan zaman kanak-kanak ni, paling menggembirakan adalah waktu nak balik kampung beraya. Memang inilah waktu yang ditunggu-tunggu setiap tahun. Sebabnya, saya tinggal di Kangar,Perlis. Kampung pula di Pahang & Johor. Memang sangat jauh. So, sekali setahun jelah merasa balik kampung. Itu yang tak sabar tu. Feel balik kampung sangat best. Dalam perjalanan dengar nasyid-nasyid raya. Sampai sekarang pun, bila dengar balik nasyid-nasyid raya tu, mesti terasa feel balik kampung.

Ada sekali tu, Abi buat kelainan. Nak pusing satu Malaysia katanya. Pergi Johor kami ikut jalan pantai Timur, singgah bermalam di PCB, Kelantan. Berbuka puasa dengan kuih-muih Kelantan. Sedap tapi manis. Paling tak dapat dilupakan bila melalui jalan ke Kuala Lipis, jalan kampung yang amat menyeramkan. Bersimpang siur macam ular kena palu. Sampai pening kepala sebab jalan bengkang-bengkok yang amat panjang seolah-olah tak berpenghujung. Kiri kanan pula tak ada lampu jalan. Dahla malam, hutan tebal pula tu. Macam-macam bayangan pelik muncul. Cukuplah kali ini saja, lepas ni tak mahu dah. Balik dari Johor pula ikut jalan pantai Barat, highway PLUS. Lega. Tapi pengalaman pusing Malaysia ni memang best.

Zaman sekolah menengah,

Dah form 2, gambar ketika bercuti di Cherating

Dah mula faham erti sebenar puasa. Tapi masih ada lagi perangai suka kumpul duit raya banyak-banyak. Bila dah sekolah menengah ni, dah duduk asrama. Mula belajar hobi baru. Kumpul kad raya. Berlumba dengan Angah siapa dapat kad raya paling banyak. Sudah tentulah saya dapat lagi banyak kad raya, hehe.

Pengalaman paling mahal waktu saya tingkatan dua. Pengalaman menjual kuih di bazar Ramadhan. Kebetulan sepanjang Ramadhan cuti sekolah. Lepas Subuh je, Ummi buat beberapa jenis puding (puding Peach, puding Nescafe & puding Caramel). Lepas tu, duduk depan TV sambil buat bekas Kuih Tako (bekas kuih ni guna daun pandan, gunting-gunting sikit, lipat-lipat & stapler…) Senang je buatnya tapi lenguh juga tangan sebab buat banyak-banyak. Dah siap tu, pi dapur pulak buat kek batik beberapa loyang. Kemudian, rehat-rehat kejap. Agak-agak dah nak asar tu, pi dapur semula buat kuih Tako. Kacau adunan guna kedua-dua belah tangan. Sebelah kacau adunan santan, sebelah lagi kacau adunan hijau dia. Lama juga kacau adunan tu sebab kena kacau sampai pekat. Tak boleh berhenti kacau sebab takut santan pecah minyak & takut tepung jagung tu berketul. Lepas solat Asar, saya, angah & Abi berangkat ke tapak bazar Ramadhan. Menjual sampai maghrib. Seronok melihat pelbagai gelagat orang. Waktu berbuka pun seronok sebab pakcik-makcik gerai lain pakat-pakat bagi makanan yang mereka jual untuk berbuka. Gerai sebelah pula jual air minuman, setiap hari kami akan bawa balik dua plastik besar air minuman. Perasaan seronok tu tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Memang penat tapi berbaloi.

Bila balik kampung pula, belajar buat kuih raya & macam-macam juadah raya dengan Tok Wan. Tok Wan saya ni memang pakar bab masak-memasak ni. Kena pula saya ni cucu sulung, anak dara pula tu. Semua benda Tok Wan nak ajar. Hasilnya, bila duduk di perantauan ni saya tak kekok lagi nak buat semua tu.

Kini…. bila dah besar panjang,

Juadah berbuka puasa 1 Ramadhan di rumah mertua tahun lepas, rindunya saat itu

Merasa puasa di rantau orang. Pengalaman yang tak boleh dapat di tempat lain kerana puasa di negara Arab ni sangat berbeza. Manisnya terasa kerana Ramadhan di sini disambut sangat meriah. Tak pandai nak describe, kena datang sini dan rasa sendiri.

Tahun lepas pula pertama kali berpuasa sebagai seorang yang bergelar isteri. Pertama kali berpuasa di rumah mertua. Sangat seronok dan bahagia. Tahun ni, walaupun tak dapat sambut Ramadhan bersama keluarga di Malaysia, kelainan Ramadhan itu tetap terasa. Pertama kali berpuasa sebagai seorang pelajar clinical. Round hospital & bertemu pesakit, perasaan yang sungguh unik.

Sudah. Tak mau cerita panjang-panjang sangat. Kalau nak dikorek 20 tahun punya cerita rasanya sampai minggu depan pun tak habis. Ramadhan pun dah nak habis, sayu betul rasanya nak meninggalkan. Tahun depan belum pasti lagi bertemu Ramadhan semula… mudah-mudahan dipanjangkan usia. Ayuh kejar peluang yang ada sementara masih punya masa !!!