Sampaikanlah

Salam sejahtera buat sekalian pembaca, semoga sentiasa berada di bawah naungan al-Khaliq…

001

Baru-baru ini, seorang ukhti berkata pada saya, “Akak, saya rasa saya ni banyak sangat buat benda tak baik. Sampai kadang-kadang tu rasa nak sampaikan sesuatu kat orang pun susah. Rasa macam diri ni tak layak”. Saya hanya tersenyum. Seorang ukhti lagi berkata pada saya, ” Ada sorang kakak tu cakap dengan saya, korang ni ikut tarbiyah tapi kenapa tak nampak pun kesan? Ramai je lagi orang bermasalah kat sini. Korang tak buat kerja ke?” Saya tersenyum lagi. Pedas betul ayat. Bukan sekali dua saya mendengar luahan sebegini. Bukan sekali dua saya bertemu orang sebegini. Bahka saya juga pernah mengalami dilema seperti ini dahulu.

Ada juga orang yang berpendapat, saya ni tak cukup baik lagi… ilmu pun tak seberapa. Macamana saya nak berdakwah? Buat apa saya nak tegur-tegur orang. Baik saya elokkan diri saya dulu. Sememangnya untuk seseorang itu menyampaikan sesuatu kepada orang lain, hatinya perlu bersih. Baru orang mudah menerima kata-katanya. Untuk seorang daie menegur kesilapan orang lain, seharusnya dia juga tidak melakukan kesilapan itu. Namun, semua ini tidak menafikan kewajipan kita untuk menyampaikan serta amar ma’aruf nahi munkar. Walaupun diri kita masih belum ‘perfect’. Kalau semua orang nak tunggu dirinya benar-benar ‘perfect’, sampai bila pun dakwah tak akan berjalan. Sebab di dunia ni, tak ada satu makhluk pun yang benar-benar ‘perfect’. Ada satu kisah, seorang raja di sebuah negeri memerintahkan semua rakyat jelatanya mengisi secawan susu seorang di dalam sebuah tong besar. Maka berkumpullah semua rakyat jelata pada hari yang ditetapkan untuk mengisi susu tersebut. Salah seorang rakyat jelata tersebut berfikir, kalau aku letak air kosong pun tak apa. Bukan raja tahu pun. Lagipun secawan air kosong tak akan bagi kesan pada setong susu yang orang lain letak. Maka dia pun melaksanakan niat jahatnya dengan menuang air kosong ke dalam tong tersebut. Nak tahu apa jadi? Bila raja buka penutup tong tersebut, yang hanya memenuhi tong itu hanyalah air kosong sahaja. Maka murkalah raja tersebut, amat kecewa dengan kelakuan buruk rakyat jelatanya. Rupa-rupanya, semua rakyatnya berfikiran sama.
Nah, jika semua orang berfikiran sebegitu… nescaya penuhlah tong tersebut dengan air kosong sahaja. Jika semua orang berfikiran bahwa dia belum cukup baik untuk berdakwah, biarlah orang lain yang alim ulama’ sahaja yang buat. Dengan anggapan bahawa dirinya seorang tak akan bawa kesan yang besar.. jika semua orang berfikiran sebegitu, nescaya tak ada siapa pun di muka bumi ini yang akan mencegah kemunkaran.

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan & menyuruh berbuat baik, serta melarang perbuatan munkar…” (Ali-Imran: 104)

Habis tu, nak buat macamana?
Perbaikilah dirimu & serulah orang lain…
Hakikatnya, pembaikan diri serta menyeru orang lain berlaku seiring. Kedua-dua proses ini merupakan proses timbal balik. Dalam masa yang sama kita membaiki diri, kita mestilah menyeru orang lain agar sama-sama membaiki diri. Dengan kita menyeru orang lain juga akan membantu proses pembaikan diri kita. Yelah, bila kita dah cakap pada orang, kita pun mestilah kena buat apa yang kita cakap tu. Sekali gus menjadi pendorong untuk kita lebih tingkatkan diri.Iman manusia lumrahnya ada waktu naik dan ada waktu jatuh. Cuba bayangkan kalau kita hanya sibuk untuk baiki diri dahulu tanpa cuba ajak orang lain, suatu hari kita berada pada tahap iman yang merudum, rasa lemah semangat. Nak buat amal pun rasa malas, keinginan nak buat maksiat meluap-luap… lama-kelamaan diri jadi lebur. Berbeza dengan orang sentiasa cuba mengajak orang lain buat baik. Bila dia berada dalam fatrah lemah semangat, dia akan sentiasa ingat bahawa dia selalu ajak orang buat baik & tinggalkan maksiat. Maka, dia akan cuba sedaya upaya berusaha untuk jaga diri dan imannya dari terus lebur. Bahkan, dia juga punyai kawan-kawan yang akan sentiasa mengingatkan dirinya dan memperbaharui semangatnya. Wahai para dai’e yang dijanjikan syurga, inilah pemangkin semangat kita. Inilah pendorong kita untuk jadi lebih baik sebenarnya…

Tapi, saya tak cukup ilmu lagi… apa yang saya nak sampaikan?

Memang ilmu merupakan syarat dakwah. Namun, tak semestinya kita perlu kuasai semua perkara dahulu baru boleh sampaikan pada orang lain. Rasulullah S.A.W bersabda; “Sampaikanlah walaupun satu ayat” Oleh itu, sampaikanlah sekadar pengetahuan & ilmu kita di samping cuba untuk mempelajari ilmu baru. Apa sahaja benda baru yang baik yang kita pelajari, sampaikanlah pada orang lain walaupun hanya satu ayat. Kita tak akan rugi sedikit pun. Bahkan ilmu kita akan lebih bertambah. Cuba bayangkan sebuah tangki simpanan air. Jika tangki tersebut diisi penuh dengan air, tetapi air di dalamnya tidak digunakan, lama kelamaan air tangki tersebut akan busuk dan rosak. Namun, kalau air tangki tersebut sentiasa digunakan tanpa diisi air baru, lama-kelamaan tangki itu akan kering. Tetapi, kalau air tangki itu digunakan sentiasa & diisi sentiasa, tangki itu akan bermanfaat buat ramai orang. Bahkan air di dalamnya tak akan busuk mahupun kering. Begitulah perumpamaan ilmu, kalau ilmu penuh di dada tetapi tidak disampaikan, sia-sialah ilmu tersebut. Bahkan ia akan rosak. Begitu juga dengan mereka yang berilmu dan menyampaikan pada orang lain, namun tidak pernah berusaha untuk menambah ilmu baru. Lama-kelamaan, modalnya akan kering. Tetapi, berbeza pula keadaannya buat mereka yang sentiasa mempelajari ilmu baru & menyampaikan apa yang dipelajari kepada orang lain. Ilmunya akan memberi manfaat berpanjangan buat dirinya serta masyarakat di sekitarnya…

Kenapa macam takde kesan pun?

Ehemm… bahaya berfikiran sebegini. Ini adalah persoalan orang yang terburu-buru. Sentiasa ingin segera melihat hasil. Sabar. Mereka yang ingin hasil segera samalah dengan orang yang menanam pokok, kemudian ingin memetik buahnya tanpa buahnya sempat masak. Tabiat dakwah memang panjang, lama, susah, & ,meletihkan. Jangan terlalu berharapkan hasil yang cepat dengan usaha kita. Kalau tak berhasil nanti, kita juga yang kecewa & lemah semangat. Tetapi, berharaplah pada syurga Allah yang di dalamnya ada sungai-sungai yang mengalir. Walaupun kita tidak sempat mengecapi hasilnya di dunia, kita tidak akan berputus asa kerana kita yakin ganjaran kita tetap ada di akhirat nanti. Allah melihat pada usaha kita, bukan pada hasil.

appletree

Semoga tulisan ringkas ini dapat memberi manfaat dan menyentuh jiwa yang sentiasa inginkan kebaikan… maafkan saya atas kurangnya produktiviti saya akhir-akhir ini dek kesibukan alam klinikal yang saya sedang cuba membiasakan diri dengannya… wallahu a’alam.