Warkah dari lembah perjuangan…

sekolah

Assalamualaikum warahmatullah.

Warga SMKAB yang dirahmati,

Setelah sekian lama, sedar tak sedar, sudah genap 4 tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Sepanjang tempoh ini, pelbagai kisah suka duka telah saya tempuhi. Kini, saya sudahpun berusia 21 tahun, berada di tahun 3 perubatan, telah berumatangga dan insyaAllah akan dikurniakan seorang cahaya mata pertengahan tahun ni. Terasa seolah-olah baru semalam saya berada di bangku sekolah.

Akan tetapi walau setelah sekian lama ini berpisah dengan asam garam kehidupan di SMKAB, saya sampai saat ini masih lagi terkenang-kenang detik-detik & pengalaman ketika itu. Hatta sehingga kini saya kadangkala termimpi-mimpi suasana & peristiwa-peristiwa di waktu persekolahan dahulu. Saya yakin, keadaan ini bukan sahaja dialami oleh saya, tetapi oleh ramai lagi daripada kalangan rakan-rakan saya, abang-abang & kakak-kakak senior terdahulu serta insyaAllah di masa hadapan adik-adik warga pelajar SMKAB sendiri.

dormn_smkab04

Warga SMKAB yang dihormati,

Sebenarnya alam persekolahan merupakan satu fasa yang penting dalam hidup seseorang. Zaman ini merupakan fasa pembentukan peribadi & perwatakan seseorang manusia. Sesungguhnya saya dan ramai lagi pada hari ini adalah apa yang terbentuk atau dibentuk ketika di alam persekolahan suatu masa dahulu.

Dari tingkatan 1 yang comel & tidak matang, berkembang sedikit demi sedikit sehingga menjadi senior tingkatan 5 yang tampan atau jelita, pintar, cerdas, sedikit nakal mungkin dan saya yakin pandai memimpin, mencorak dan mewarnakan kehidupan sekeliling. Walaupun kemungkinan ada sebahagian yang ‘terkandas’ dan memilih corak hidup yang kurang baik.

Apapun, seharusnya kita memahami bahawa fasa ini merupakan satu proses ke arah membentuk peribadi seseorang remaja menjadi matang, seterusnya mencorak keluarga yang akan dibina dan kemudiannya secara langsung atau tidak melahirkan masyarakat yang menuju kepada keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

aiman_form2

Warga SMKAB yang dikasihi,

Selepas sekian waktu meninggalkan SMKAB, sedikit demi sedikit saya cuba mengenali hakikat dunia ini, hakikat hidup ini dan hakikat umat ini. Hari ini, dengan sedikit sebanyak bekalan yang saya perolehi ketika alam remaja, saya dan sebahagian rakan-rakan di sini cuba melaksanakan pembentukan keperibadian para pelajar di sini.

Sesungguhnya tidaklah hebat sesuatu kelompok manusia itu melainkan nilai dan kualiti sumber manusia yang berada di dalamnya. Kegemilangan umat Islam suatu masa dahulu tidak akan dapat dikembalikan dengan laungan dan kata-kata semata-mata, tetapi hanyalah dengan amal dan usaha ke arah membentuk keperibadian-keperibadian seperti generasi para sahabat Rasulullah s.aw yang akan mengembalikannya.

Adik-adik warga pelajar SMKAB,

Semoga kalian memanfaatkan detik-detik kalian berada di bumi pengalaman SMKAB dan semoga kalian menjadi ‘mutiara-mutiara’ pewaris perjuangan menegakkan kalimah tauhid.

f52004-boys3

Salam ukhuwwah dari bumi Syam…

Aiman Rosli,

Irbid, Jordan

*Entry ini adalah salinan warkah yang ditulis buat warga sekolah lama saya dahulu (SMK Agama Baling, Kedah). Sekadar perkongsian.