Berakit-rakit ke hulu

boat_1

Pagi Jumaat yang hening diiringi kicauan burung-burung sangat menenangkan. Pagi ini, seperti biasa saya melakukan tugasan-tugasan rumah. Beginilah rutin saya setiap pagi Jumaat. Hari minggu memang kemas rumah ala kadar saja memandangkan jadual harian yang padat. Hujung minggulah masa yang ada untuk melicinkan setiap penjuru rumah yang sebesar dewan ni, membasuh pakaian, masak sedap-sedap untuk suami dll. Walaupun terpaksa mengusung perut yang makin membesar, tapi badan saya seolah-olah tak mahu berhenti buat kerja selagi belum selesai. Bila dah siap buat kerja mulalah sakit-sakit belakang, padahal waktu tengah buat tu tak rasa penat langsung.

Bersusah-susah dahulu

Hari tu, sembang-sembang dengan abang nostalgia zaman kecil-kecil dahulu. Bila mengenang kembali nostalgia lama, teringat pengorbanan Abi & Umi membesarkan kami adik beradik dalam keadaan yang serba kekurangan.

Umi mengandungkan saya ketika sedang belajar di USA. Situasi Umi hampir sama dengan apa yang saya lalui sekarang. Barulah saya rasa jerih payah sebenar seorang ibu. Ketika melahirkan saya, Umi sedang menghadapi peperiksaan. Terpaksalah Umi mengambil make-up exam untuk paper terakhir seminggu selepas bersalin disebabkan saya lahir sebelum Umi sempat habis exam. Walaupun sakit bersalin masih bersisa, Umi gagahkan juga ke Universiti. Nak berjalan pun terpaksa pegang dinding. Saya sangat kagum dengan kekuatan Umi. Umi juga melalui pengalaman pertama sebagai seorang ibu tanpa Tok Wan & keluarga di sisi. Terima kasih Umi.

Sewaktu umur saya 4 tahun, kami tinggal di Gombak. Kehidupan kami waktu ini sangat sederhana. Ketika ini, Umi sedang melanjutkan pelajaran (Master) di UIA. Abi pula bekerja sebagai guru sambilan. Saya masih ingat lagi keadaan rumah kami waktu itu. Di ruang tamu hanya ada sebuah rak buku & meja kecil. Bilik tidur pula hanya dilengkapi tilam & almari pakaian plastik. Perkakas yang ada memang cukup-cukup untuk hidup. Tiada TV, tiada komputer, tiada set sofa dll. Hiburan kami hanyalah sebiji radio kecil. Kenderaan yang ada pula Cuma sebiji motorsikal kapcai yang memuatkan kami berempat. TV pertama dibeli ketika saya berumur 7 tahun, waktu tu kami tinggal di Perlis. Komputer pula waktu saya darjah 4. Walaupun begitu, saya tetap melalui zaman kanak-kanak dengan bahagia.

Bersenang-senang kemudian

Alhamdulillah, sekarang Umi & Abi tak hidup sesusah dahulu. Adik-adik saya juga sudah merasa kemajuan teknologi sejak kecil. Namun kadang kala saya terfikir, alangkah beruntungnya saya kerana dapat melalui kehidupan yang serba kekurangan. Banyak perkara yang saya belajar. Saya belajar untuk jadi lebih matang. Saya juga belajar untuk lebih pandai berjimat. Disebabkan kesusahan itulah, saya belajar untuk berusaha sendiri bagi mendapatkan sesuatu. Saya masih ingat ketika di sekolah rendah, beg sekolah saya sudah usang. Demi untuk mendapatkan beg baru, saya berjanji dengan Umi untuk mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Maka saya pun berusaha untuk mendapatkan hadiah beg tersebut. Walaupun akhirnya saya mendapat tempat kedua, Umi tetap membelikan beg baru sebagai hadiah. Saya juga akan mengumpul duit dari wang saku untuk mendapatkan barang-barang idaman saya. Sehingga kini, tabiat menyimpan sudah menjadi kebiasaan bagi saya. Hingga nak kahwin pun saya guna sebahagian wang simpanan biasiswa saya. Selepas ini, akan bertambah seorang lagi ahli baru. Mudah-mudahan saya dapat mengurus kewangan saya dengan baik.

Ujian yang sering tidak disedari

Sebenarnya, kesenangan & kemewahan hidup banyak melalaikan manusia. Memang indah hidup dalam kesenangan, tetapi kesenangan itulah ujian yang sering kita tidak sedar. Ramai orang boleh melalui ujian kesusahan dengan baik kerana mereka sedar akan ujian tersebut, tetapi ramai pula yang kecundang dengan ujian kemewahan kerana mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sedang diuji. Itulah salah satu cara Allah melihat sejauh mana kita bersyukur, sejauh mana kita menggunakan harta kita pada perkara yang sepatutnya, serta sejauh manakah kita bersedekah & menginfaqkan harta pada jalanNya. Para sahabat dahulu berlumba-lumba menginfaqkan harta pada jalanNya, semata-mata inginkan redhaNya. Mereka takut dengan kemewahan itu akan menyebabkan mereka leka dengan dunia. Tetapi realiti kita hari ini, berlumba-lumba mengumpul harta sebanyak mungkin. Sedangkan semua itu hanyalah sementara. Akhirnya bila mati, harta yang bertimbun itu tidak sedikit pun mampu menolong kita di akhirat sana. Bahkan menjadi beban buat kita di mizan Allah kelak. Nauzubillah…

Tidak rugi kita bersusah di dunia untuk mendapatkan nikmat hakiki yang kekal selama-lamanya di akhirat kelak. Sesungguhnya bersama setiap kesusahan, ada kesenangan. Wallahu a’alam.

Gambar hamil 7 bulan (skrg dah 8 bulan) khas buat tatapan keluarga tercinta esp Umi & Angah Una

Gambar hamil 7 bulan (skrg dah 8 bulan) khas buat tatapan keluarga tercinta esp Umi & Angah Una

P/s:

1. Tahniah buat Ukhti Marhamah atas kelahiran puteri sulungnya.

2. Juga tahniah buat adik ipar, Ammar yang berjaya mendapat tempat di KUIS. Semoga menjadi mahasiswa cemerlang juga ikhwah yang mantap.

3. All the best buat Angah Una yang sedang menghadapi peperiksaan final, juga buat Ukhti Fadhilah & kakak-kakak tahun 6 yang lain. Ma’akum bittaufiq.

4. Tidak lupa juga buat kakanda tercinta yang akan exam Ahad ini. Semoga berjaya dengan cemerlang, habibi. Doa dinda sentiasa mengiringi kanda…

5. Buat keluarga di Malaysia, our baby dah 8 bulan (sebulan labih je lagi). Last week check-up dah 2kg berat dia. Alhamdulillah semuanya ok. Cuma doakan K. Long bersalin lepas final exam ye. Doakan K. Long & Abang dapat lalui exam dengan baik.