Kenal maka cinta

handshake

Kenal maka cinta

Orang kata tak kenal maka tak cinta. Maka, jika kenal maka cinta. Mengapa tidak Allah jadikan semua manusia berbangsa arab? Mengapa tidak dijadikan manusia semuanya berkulit putih bersih supaya tak timbul dasar Apartheid dan perbezaan kasta? Mengapa tidak semua manusia sama sahaja supaya hisab lebih adil?

Hakikatnya, kita dijadikan berbilang bangsa, bahasa, warna kulit, karakter dll adalah supaya kita saling kenal mengenal. Bila sudah kenal, kita akan saling mencintai. Dengan itu, kita akan saling melengkapi antara satu sama lain.

Firman Allah S.W.T:

” Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal “.

(Al Hujurat 13)

Ta’aruf jambatan ukhuwah

Kedatangan adik-adik baru ke bumi Irbid ini menjadikan bertambah lagi populasi pelajar melayu di sini. Ada baik dan ada buruknya bila melayu sudah ramai. Tetapi bukan itu yang saya mahu sentuh. Saya sekadar mahu melontarkan satu persoalan, sejauh manakah kita kenal sahabat-sahabat se’melayu’ kita?

Tidak dinafikan saya sendiri memang mengalami sedikit masalah dek kerana adik-adik yang terlalu ramai. Setiap tahun bertambah, yang tahun lepas belum habis kenal dah datang yang baru.

Di sinilah pentingnya ta’aruf. Jangan berat mulut untuk menegur dan berkenalan dengan mereka. Jangan malu-malu untuk masuk ke kelompok mereka dan berbual-bual dengan mereka. Tidak rugi kita berta’aruf dengan ramai orang, bahkan banyak manfaatnya.

Strategi berkesan dakwah

Orang yang paling kita percayai biasanya adalah orang yang paling kita kenal. Tidak syak lagi, ta’aruf adalah elemen terpenting dalam dakwah. Secara fitrahnya, manusia akan lebih mudah mendengar kata-kata orang paling dipercayainya. Sebab itulah seorang daie amat dituntut untuk membina jambatan hati dengan mad’u. Contoh terbaik pada diri Rasulullah sendiri. Baginda tidak pernah malu untuk menegur sapa sesiapa sahaja. Bahkan baginda yang merupakan seorang pemimpin terhebat tidak pernah berasa rendah diri untuk bergaul dengan kanak-kanak. Inilah sebenarnya kunci kejayaan dakwah baginda. Keperibadian mulia baginda inilah yang menjadikan Islam tersebar ke seluruh dunia. Hebat kan?

Jadilah orang yang mengenali dan dikenali. Wallahu a’alam.

P/s: Jom kita sama-sama berkenalan dengan junior ^_^