Syukur atau kufur?

Damai Musim Rabi’

Indahnya musim bunga, musim yang saya sering nanti-nantikan. Kicauan beburung di tepi tingkap, kehijauan pepohon menghias pandangan. Ditambah seri dengan tompokan kuning, putih, merah & ungu bebunga liar yang sedang mekar. Nyaman sungguh udaranya, tidak sejuk dan tidak panas. Amat sesuai untuk duduk bersantai mentadabbur alam, menghilangkan lelah sepanjang minggu. Diri ini merasa amat bersyukur dengan nikmat kesejahteraan tubuh dan akal kurnianNya, yang membolehkan saya mengecapi semua ini.

Seminggu lebih dawam di Fuhays (Pusat Rawatan Mental) menjadikan saya benar-benar insaf. Saya beruntung kerana tidak ‘sakit’ seperti mereka. Saya beruntung kerana dapat mengecap pelbagai nikmat. Namun, sejauh manakah diri ini bersyukur?

Pertama kali menjejakkan kaki ke wad sakit mental di Fuhays ini, hati saya diselubungi perasaan takut dan bimbang. Bimbang diapa-apakan oleh ‘mereka’. Maklumlah, sebahagian dari ‘mereka’ pernah membunuh dan sebagainya. ‘Mereka’ juga sering melakukan sesuatu di luar jangkaan. Mujurlah rakan-rakan sekumpulan yang lelaki amat mengambil berat keselamatan kami terutamanya apabila kami memasuki wad pesakit lelaki.

“Pastikan kamu sentiasa berjalan dekat dengan kami, jangan pergi mana-mana sendirian,” ujar Anas, salah seorang ahli kumpulan kepada kami yang perempuan ni.

Aku dan Kak Lynn yang berwajah Asia ini menarik perhatian pesakit-pesakit di situ. Mungkin kerana muka kami yang tampak berbeza berbanding rakan-rakan Arab yang lain.

Bermacam-macam ragam pesakit kulihat di sini. Ada yang ‘maniac’, ketawa mengilai tak tentu hala, bercakap tak henti, percakapan yang tak logik, sekejap gembira sekejap sedih. Ada pula yang kelihatan depressed. Berwajah murung, percakapan pun monotonous. Ada juga yang ‘attention-seeking’. Melakukan perilaku yang pelik-pelik untuk menarik perhatian.

Namun, kebanyakan mereka agak agresif. Sebab itulah kami dinasihatkan supaya berhati-hati dengan diri & barang-barang kami. Janganlah pula nak menunjuk-nunjuk handphone canggih kita di hadapan mereka.

Antara mental & jiwa yang sakit

Bagi saya, istilah ‘sakit jiwa’ agak kurang sesuai diberikan kepada pesakit-pesakit mental. Sakit mental dan sakit jiwa merupakan dua aspek yang berbeza. Ia cuma sama dari satu sudut, kedua-duanya merupakan penyakit ‘dalaman’.

Pada saya, istilah ‘sakit jiwa’ lebih sesuai diberikan kepada mereka yang jiwanya bermasalah. Sentiasa disaluti karat dosa. Jiwanya sentiasa tidak tenang dan kacau-bilau. Sedangkan pesakit mental ini masalahnya pada otak. Sudah tentu berbeza kan? Rawatannya juga berbeza. Buat pesakit mental, kita menggunakan rawatan psychotherapy atau ubat-ubatan. Tetapi bagi masalah jiwa, hanya kembali pada Allah jalan penyelesaian terbaik.

Was-was itu dari syaitan

Pernah tak anda dengar kisah-kisah seperti berikut? Atau pernahkah anda mengalaminya?

Amin keluar dari tandas buat kali yang kelima. Bajunya basah kuyup. Rakan-rakannya telah pun selesai mengerjakan solat Maghrib berjemaah. Waktu Maghrib bukannya panjang mana.
Setelah lima kali Amin mengambil wudhu’, barulah dia rasa yakin untuk solat.

Mata Ali sejak tadi tidak mahu lena. Dia bangkit dari katilnya untuk memeriksa pintu dan tingkap samada sudah dikunci atau belum. Kemudian, dia beredar ke dapur untuk memeriksa samada gas sudah ditutup atau belum.
Setelah berulang-ulang kali melakukan pemeriksaan, barulah Ali berpuas hati dan dapat melelapkan mata dengan tenang.

Nina merupakan setiausaha di sebuah syarikat. Dia sering tidak berpuas hati dengan majikannya yang kerap memarahinya kerana lambat menghantar kerja yang diberi.
Bagi Nina, dia telah melakukan kerja yang terbaik. Setiap kerja yang diberi padanya akan disemak berulang kali sehingga Nina puas hati walaupun ketelitiannya itu menyebabkan kerjanya sering lambat atau terbengkalai.

Saya suka untuk menyentuh bab ini kerana ia sering berlaku pada kita atau orang sekeliling kita tanpa kita sedari. Obsessive Compulsive Disorder (OCD) merupakan salah satu penyakit psikiatri yang saya pelajari. Orang Arab sebut sebagai penyakit ‘was-was’. Mereka yang menghidap OCD atau was-was ini sering risau, ragu-ragu dan tidak tenang pada sesuatu perkara sehingga menyebabkan dia melakukan perkara tersebut berulang kali.

Sesungguhnya, was-was itu dari syaitan. Islam itu mudah dan indah. Umat Islam disarankan berpada-pada dalam semua perkara. Maknanya, jangan terlalu memudah-mudahkan dan jangan pula terlalu berlebih-lebihan.
Bila berlakunya keraguan dalam hati, segeralah ‘istighfar’ dan ‘isti’az‘. Mudah-mudahan kita dijauhkan dari hasutan dan was-was syaitan.

Kita punya Allah
Berdasarkan pemerhatian saya, pesakit-pesakit mental yang saya temui kebanyakannya bermula dengan ‘kejadian buruk’, masalah, atau trauma yang menimpa diri mereka. Memang tidak dinafikan, pengalaman buruk boleh memberikan impak kepada seseorang terutamanya dari segi emosi. Namun, sebagai seorang muslim yang mukmin, kita punya Allah. Seorang muslim tidak berburuk sangka dengan Allah. Apatah lagi berputus asa denganNya. Seorang muslim sentiasa redha, baik atau buruk taqdirnya. Jika baik taqdirnya, dia bersyukur.. tetapi jika buruk taqdirnya, itu adalah ujian dariNya tanda Dia sayang.. dia redha.
Untung kan jadi muslim? Semua benda baik belaka.

Jika dilihat dari aspek psikologi, ‘positive thinking’ memang terbukti menjadi pemangkin  kejayaan seseorang dalam hidupnya. Bila dilanda masalah, sentiasa lihat dari sudut positif. Nescaya mudah untuk kita temui penyelesaiannya.
Saya sendiri sering menghadapi dilema, bimbang dengan kemampuan diri sendiri.. Mampukah saya mengambil bidang perubatan? Mampukah saya berkahwin ketika masih belajar? Mampukah saya mempunyai anak di kala belum tamat pengajian? Mampukah saya menyeimbangkan antara belajar dan dakwah?Mampukah itu dan ini?

Namun, bila bersembang-sembang mendengar cerita orang. Rupanya ada orang yang mampu melakukan semua itu.
Maka saya set dalam minda bahawa jika orang lain mampu, saya juga mampu.. dan bertawakkal kepada Allah. Memanglah setiap orang berlainan. Ada yang dikurniakan kelebihan tersendiri. Namun, kita jangan sekali-kali membataskan kemampuan kita dengan menyangka kita tidak mampu. Kita kan ada Allah..

” Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH nescaya ALLAH akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikanNYA rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendaki)NYA.
Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

(At-Thalaq 2-3)

MasyaAllah, betapa besarnya rahmat Allah. Allah sekali-kali tidak akan membiarkan hambaNya sendirian.

Nikmat yang jarang kita syukuri
“Dua nikmat agung yang sering diabaikan kebanyakan orang adalah nikmat kesihatan dan masa lapang”
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Bertemu dengan pesakit setiap hari, dengan pelbagai jenis penyakit yang dideritai sememangnya amat menginsafkan. Kita yang hidup sihat ini sering terlupa dengan nikmat yang Allah beri pada kita.
Kita perlu sentiasa ingat bahawa nikmat ini hanya pinjaman dariNya. Bila-bila masa sahaja Allah mampu tarik kembali nikmat yang diberikanNya ini.
Oleh itu selagi kita masih punyai nikmat kesihatan dan masa lapang ini, gunakanlah dengan sebaik-baiknya.