Perjuangan masih belum selesai

Suasana pagi di JUST

Bangun tidur pagi ini, terasa agak janggal. Biasanya, usai solat subuh terus menghadap nota yang menggunung. Gigih menelaah hingga tersengguk-sengguk. Sampai kadang-kadang tu, penuh nota dengan contengan-contengan seni dek terlalu mengantuk. Maklumlah, subuh di sini sekarang awal. Sekitar jam 4. Saya pula tidur sejam dua sahaja sebelum subuh.

Bila Asiah bangun tidur sekitar jam 7.00 pagi saya akan bergegas bangkit menyiapkannya, menukar pampersnya dan membuat sarapan sebelum suami saya menghantarnya ke rumah pengasuh. Selepas siap kerja-kerja yang patut, saya akan kembali menghadap nota-nota tersebut.

Hari ini, rasa sedikit kosong. Tiada lagi nota yang bertimbun seperti semalam dan beberapa bulan yang lepas. Terasa janggal. Bila kita sudah biasa sibuk, memang tidak betah bila tiada kerja.

Tapi alhamdulillah, saya sangat gembira kerana hari ini kekosongan saya diisi dengan menjadi suri rumah sepenuh masa. Mengemas dan membersih, memasak, dan yang paling seronok tentulah bermain dengan anak tersayang.
Sudah hampir sebulan saya agak meng’abai’kannya kerana tuntutan exam. Kasihan si kecil yang dahagakan belaian itu. Hari ini memang Asiah dapat berkepit dengan mamanya sehari suntuk. Tambah-tambah sekarang ni dia sangat keletah.
Bibir mungilnya itu tak henti berceloteh, walaupun yang keluar hanyalah ‘gibberish words‘. tapi cukup menghiburkan sebab nada cakapnya seperti orang besar. Asiah… asiah…

Sebulan yang lalu..

‘Kalau kamu nak makan bittikh (tembikai) ni, kamu kena bayar rubu’ setiap seorang,’ kata Firnas, kawan arab sekelasku secara berseloroh.

‘Rubu‘?? Betul ke? Nanti saya tanya orang lain betul ke kena bayar’

Suasana kelas pagi itu riuh-rendah. Masing-masing sibuk bermaaf-maafan dan mengucap kata-kata selamat bagi peperiksaan akhir yang sudah tidak lama.

Saya mengajak Kak Lynn keluar. Kami pun turut bersalam-salaman dengan rakan-rakan rapat. Saya membawa sedikit coklat berserta kad ‘Good Luck’ untuk diberikan pada mereka. Hari ini merupakan hari terakhir kelas untuk pengajian tahun lima.

Keluar sahaja dari bangunan klinik, kelihatan rakan-rakan arab yang lain berkumpul di bawah pokok. Wah, mereka sedang berpesta tembikai rupanya.

'Pesta tembikai' di hari terakhir kelas

Firnas yang ternampak kami keluar memanggil dari jauh. Kami di sini, para pelajar klinikal dibahagi-bahagikan kepada kumpulan kecil. Lebih kurang 15 orang setiap kumpulan. Kami akan rounds, bedsite teaching, dan seminar bersama.
Saya cukup beruntung mendapat kawan-kawan sekumpulan yang baik seperti mereka. Mereka tidak membezakan kami walaupun kami melayu. Tahun lepas juga begitu, di saat saya sarat mengandung kawan-kawan arab yang sekumpulan dengan saya banyak membantu.

Berkorban itu perlu

Saya mencium pipi montel Asiah sepuas-puasnya pagi itu. Kemudian saya memeluknya erat-erat. Berat rasa hati nak berpisah dengan buah hati kesayangan.

‘Asiah, hari ni mama nak hantar Asiah tidur rumah Teta tau. Mama nak exam esok. Nanti mama dah habis exam mama ambil Asiah ye, lepas tu kita boleh main sama-sama.. Asiah jadi anak yang solehah, ye. Jangan nakal-nakal kat rumah Teta nanti,’ pesan saya pada Asiah sambil meribanya di pangkuan.

Sebak hati saya. Saya akan menghantar Asiah ke rumah Teta, pengasuh Asiah. Selama beberapa hari. Selang tiga hari, saya akan mengambilnya untuk tidur di rumah sehari dan kemudian menghantarnya kembali.

Asiah bersama Teta dan sepupu2 arabnya..

Seboleh mungkin, saya sangat tidak mahu berpisah dengan Asiah walaupun sesaat. Namun, jadual imtihan yang padat memaksa saya berbuat demikian. Tiga minggu saja, saya harus tabah.

Kadang-kala, untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berkorban. Berkorban dengan sepenuh jiwa raga. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Berkorban dengan sepenuh keikhlasan. Agar jerih payah kita beroleh pahala.

Seorang senior saya pernah berkata pada saya suatu hari, ‘Asma tahu tak apa maksud korban yang sebenar?’

‘Emm, mengorbankan apa yang kita suka untuk sesuatu?’ jawab saya dengan wajah ‘innocent’.

‘Betul tu. Tapi lebih tepatnya, mengorbankan apa yang kita sukai atau cintai tanpa mengharapkan apa-apa melainkan redha Allah. Itu baru namanya pengorbanan’

Betul juga. Kalau kita mengharapkan sesuatu dari pengorbanan kita, kita belum cukup ikhlas. Semoga hati ini mampu mengorbankan sesuatu dengan ikhlas keranaNya.

Palestin bumi kita

Sedang saya dalam kesibukan menghadapi peperiksaan, dunia dikejutkan dengan peristiwa serangan ke atas Kapal Mavi Marmara.

Allahu akbar, sungguh musuh-musuh Allah tidak akan sekali-kali membiarkan umat Islam menang. Kapal yang datang membawa bantuan kemanusiaan, tanpa sebarang senjata itu diserang habis-habisan. Macam-macam alasan dikeluarkan untuk mengabui mata dunia. Namun, dunia kini sudah terbuka mata. Alhamdulillah, inilah salah satu tujuan konvoi tersebut. Moga Allah mengganjari usaha mereka.
Kita  pula bagaimana? Apa usaha kita?

Perjumpaan bersama pejuang-pejuang Lifeline 4 Gaza beberapa hari selepas peristiwa Mavi Marmara

Rindu Malaysia

Semalam saya bermimpi, saya berada di KLIA. Melihat kehijauan Malaysia, menghirup udara Malaysia. Ah, rindu itu datang lagi. Mungkin kerana keletihan menghadapi peperiksaan tahun ini yang saya kira agak berat. Saya benar-benar rasa mahu berehat menenangkan fikiran di Malaysia.

Mahu melepaskan rindu pada Ummi, Abi, Ummi, Baba dan adik-adik. Mahu bersantai-santai di tepi lata sambil makan-makan. Rindukan masakan Ummi yang sangat lazat itu. Semuanya saya rindu. Sampai saya ada juga terfikir untuk beli saja tiket dan balik. Tapi kewangan tak mengizinkan. Tak mengapalah, sabar sikit saja lagi.

Memori lalu

Sekarang ini Jordan sedang di permulaan musim panas. Suasana hangat dan keringnya benar-benar mengingatkan saya memori setahun lepas. Ketika saya sedang sarat mengandung sembilan bulan. Menanti hari si kecil menjenguk bumi.

Ummi datang ke Jordan untuk membantu saya apa-apa yang patut. Saya yang minta Ummi datang sebenarnya. Saya rasa macam tak mampu nak buat seorang diri. Saya juga rasa perlukan sangat sokongan moral dari Ummi.

Alhamdulillah, Ummi berjaya sampai beberapa hari sebelum tarikh saya sepatutnya bersalin. Namun, tanda-tanda bersalin langsung tak nampak. Sehingga berlalu dua minggu dan Ummi perlu pulang ke Malaysia kerana kerja. Akhirnya, saya bersalin sehari sebelum Ummi berangkat pulang. Nampaknya, memang takdir Allah untuk saya menghadapinya sendiri.

Perit tak usah kata. Saya yang baru mula belajar mengurus anak, dengan kesakitan c-sec yang masih bersisa, dengan kelas yang perlu dihadiri, assignment, exam dan sebagainya. Entah berapa gelen air mata saya mengalir ketika itu. Mujurlah rakan-rakan banyak membantu walaupun bukan sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban yang dihadapi.

Saya masih ingat, Asiah yang suka berjaga di tengah malam. Saya masih ingat ber’perang’ dengannya sepanjang hari kerana ruam. Saya juga masih ingat, saya study sambil menyusukan dan menidurkannya.

Agaknya, Allah nak bagi saya rasa apa yang Ummi saya rasa dahulu. Ummi dulu sama juga seperti saya, mendapat anak ketika sedang belajar, di luar negara, jauh dari keluarga, dan bersalin ketika musim peperiksaan.
Subhanallah, saya cukup insaf betapa besarnya pengorbanan seorang ibu.

Perjuangan masih belum selesai..

Hari ini, sesudah habis peperiksaan saya rasa lega. Namun perjuangan masih belum selesai. Selagi saya masih bernafas, saya perlu terus berjuang..

Tanggungjawab kita di bumi Allah ini bukan sekadar untuk hidup, bekerja dan beribadah.. tetapi amanah untuk menegakkan agamaNya terletak di bahu kita..