Isteri Idaman Suami

Musim Kahwin

Seronok bila menerima jemputan perkahwinan rakan-rakan, walaupun saya tak dapat menghadirinya.. seronok melihat kegembiraan terpancar dari wajah bakal raja sehari. Seronok juga melihat suasana akad nikah dan kenduri perkahwinan walaupun hanya melalui gambar. Sebab apa? Sebabnya, wajah semua orang tampak gembira dan riang, berseri-seri dengan busana yang berwarna-warni.

Sekarang musim cuti sekolah, juga secara tak langsungnya musim kenduri kahwin. Kawan-kawan sebaya saya juga masing-masing dah grad dan mula melangkah ke gerbang perkahwinan. Banyak jemputan yang saya terima. Sungguh, saya sangat gembira. Tapi maaf sangat kerana tak dapat menghadirkan diri kerana kekangan jarak. Apa pun, saya tak lupa menitipkan doa buat kalian semoga berbahagia hingga ke syurga.

Memang Manis

Memang manis bila dikenang. Kenangan ikatan suci bertaut, bila diri sah bergelar isteri seseorang. Kenangan manis sepanjang hayat. Saat-saat janji dilafaz, dua hati bersatu.. namun biarlah kemanisan ‘pengantin baru’ ini berkekalan walaupun masing-masing dah berkedut dan beruban.

Untuk itu, kita kena selalu ingat satu perkara. Kemanisan ini datang dengan tanggunjawab. Ia datang satu pakej, tak boleh pisah-pisah. Suami dengan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, membimbing isteri dan anak-anak, menyediakan keperluannya, serta mencari penyelesaian bila dilanda masalah. Isteri juga punya tanggungjawab, taat pada suami, mendidik anak-anak, serta membantu suami. Tanggungjawab ini sangat besar sebenarnya.

Isteri Idaman Suami

“Abang, petang ni ayang nak keluar beli barang kat kedai bawah ye”

“Hari ni ayang masak lauk special untuk abang. Abang mesti lapar kan, jom kita makan”

“Abang nak pergi program? Abang jangan risau, insyaAllah ayang akan jaga diri elok-elok. Allah kan ada”

Sejuknya hati suami dapat isteri begini. Sentiasa meminta izin untuk keluar rumah. Melayan suami yang kepenatan pulang kerja. Merelakan suami keluar untuk urusan dakwah walaupun terpaksa ditinggalkan keseorangan..

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda :

“Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila
engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.”

Wanita Islam yang bijaksana sentiasa mahu mencari keredhaan Allah dengan taat kepada suaminya dalam perkara yang bukan maksiat, berbakti untuk suaminya dan sentiasa berusaha untuk menggembirakan suaminya. Dia akan redha dengan kesusahan atau kesempitan hidupnya, sebagaimana yang telah dicatatkan dalam sejarah Islam unggulnya peribadi Fatimah r.a. Subhanallah..

Taat Suami Tiket ke Syurga

Ketaatan adalah satu penyebab bagi wanita ke syurga sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Apabila wanita itu telah melakukan solat lima waktu, puasa pada bulannya, taat kepada
suaminya, menjaga kemaluannya, akan dikatakan kepada dia: Masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu sukai.” (Riwayat Ibn Majah)

Masya Allah.. Allah menjemput isteri-isteri yang taat masuk ke syurgaNya dari mana-mana pintu yang disukai.. terlalu mulia darjat seorang isteri solehah di sisi Allah.

Terimalah Seadanya

Apa pun, bukanlah mudah untuk mendapat suasana se’ideal’ itu. Masing-masing punya kelebihan dan kekurangan. Kadangkala, pasangan suami isteri tak boleh terlalu mengharapkan yang ‘sempurna’ sahaja. Kita pun bukanlah sempurna mana, maka terimalah pasangan kita seadanya dan berusahalah menjadi pasangan yang beriman dan taat.

Mudah-mudahan kekurangan duniawi yang ada menjadikan kita lebih rapat dengannya kerana kita saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Sweet kan?

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari
jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

[Surah Ar-Rum 30:21]

Bahagiakanlah Kami Ya Allah..

Apa yang saya tulis hari ini hanyalah sedikit perkongsian terutamanya buat sahabat-sahabat saya yang bakal menempuh alam rumahtangga sedikit masa lagi. Juga buat rakan-rakan yang sudah pun bergelar isteri. Saya juga masih berusaha untuk menjadi isteri yang solehah. Mudah-mudahan Allah perkenankan.. Mudah-mudahan Allah menjadikan buat kita kebahagiaan yang berkekalan hingga ke syurga..

P/s:

Ucapan tahniah buat Acik Imah (Siti Muslimah), Nur Syazana, Kak Israaq, Hanisa Mazlan, Nur Nadiah (Yarmouk) serta pasangan masing-masing atas ikatan suci yang dibina.. Semoga bahagia berkekalan…

Tahniah juga buat Kak Maryam atas berita gembira itu ^_^