Setahun

Saat ini, setahun yang lalu… saya sedang bertarung nyawa. Melahirkan seorang zuriat penyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. Syahdu rasa hati mengenang memori yang datang bertandang. Pengalaman yang tak akan dilupakan sampai bila-bila..

Setahun lalu…

Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang. Bermakna sudah empat jam aku berada di Hospital Islami, Irbid dan menanggung kesakitan seorang diri. Sudah seminggu lewat dari tarikh jangkaan bersalin sebenarnya. Macam-macam usaha telah aku lakukan untuk mempercepatkan bersalin memandangkan cuti semesterku yang hanya dua minggu.

Hari ini, sudah seminggu aku memulakan pengajian semester musim panas. Esok pula ibuku akan pulang semula ke Malaysia setelah dua minggu berada di Jordan dengan tujuan untuk membantuku  selepas bersalin nanti. Namun, perancangan Allah di luar jangkaanku. Tak mengapalah, asalkan ibuku dapat menemaniku ketika aku bersalin sudah cukup baik bagiku.

Selepas doktor memecahkan air ketuban (Artificial Rupture of Membrane AROM), kesakitanku bertambah serta-merta hingga aku merasakan nyawaku seolah-olah di hujung rambut. Jururawat di sisiku tidak henti-henti menyuruhku berselawat dan bersabar. Suamiku pula setia dari tadi membacakan al-Quran untukku.

Tekakku terasa amat kering. Perit. Perutku pula tak dapat nak digambarkan kesakitannya. Setiap lima minit, aku akan diserang kesakitan yang amat. Air mataku mengalir membasahi pipi dek kerana menahan sakit. Ketika itu kematian sudah terbayang-bayang di hadapan mataku. Aku beristighfar beberapa kali. Mengapa terlalu mudah untuk aku menyerah kalah. Bukankah perjuangan melahirkan anak ini besar pahalanya di sisi Allah.

“Allah… Allah… Allah…,” hanya kalimah itu yang bergayut di bibirku tiap kali kesakitan menyerangku. Ketika ini, aku hanya bertawakkal pada Allah. Tiada sesiapa pun yang boleh membantuku pada saat itu melainkan Allah. Malam menjelma, namun bayiku masih belum boleh keluar.

Tepat jam 9 malam, Dr. Leena datang memeriksaku buat kesekian kalinya.

“Saya rasa puan perlu dibedah. Di kepala bayi puan dah muncul caput. Kita pun sudah menunggu agak lama, kalau dibiarkan bimbang bayi puan lemas atau stress,” ujar Dr. Leena dengan wajah serius. Aku hanya mengangguk lemah. Pasrah.

Selepas aku disiapkan untuk masuk ke bilik pembedahan, suamiku dan ibuku yang sejak tadi menanti di bilik menunggu dibenarkan menemuiku. Suamiku lantas memelukku erat. Terpancar di wajahnya kerisauan.

“Sayang, sabar banyak-banyak ya. Demi sayang dan juga anak kita. Apa-apa pun yang berlaku, keselamatan sayang lebih utama. Abang tahu sayang kuat,” suamiku memberikan kata-kata perangsang sambil menggenggam erat tanganku. Kulihat di matanya bergenang air mata. Aku tahu dia sangat cintakan aku. Aku hanya mengangguk lemah. Saat itu aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Seluruh badanku terasa lemah.

Jam 9.15 malam, tubuhku disorong keluar dari wad bersalin menuju ke bilik pembedahan. Doktor-doktor yang bakal membedahku sudah siap sedia menunggu.

“Puan tarik nafas dalam-dalam ya,” ujar doktor tersebut sambil menyuakan alat pernafasan ke wajahku. Pandanganku beransur gelap.

Permataku Sudah Lahir

“Tahniah, bu. Ibu mendapat seorang anak puteri seberat 4.5 kg. Sihat bangat badannya,” pembantu Indonesia yang bekerja di hospital tersebut bersuara di telingaku. Aku membuka mataku. Pandanganku masih kabur ketika itu. Kulihat di sebelahku seorang jururawat sedang membersihkan seorang bayi. Kedengaran tangisan bayi tersebut memecah keheningan bilik pembedahan tersebut. Hatiku berbunga riang.

Tiada kata yang mampu aku ucapkan. Namun aku benar-benar lega. Aku bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup. Aku juga bersyukur kerana anakku lahir dengan selamat. Alhamdulillah. Aku disorong ke wad. Ibuku dan beberapa orang kawanku sudah menunggu di situ, menyambutku dengan senyuman dan ucapan tahniah. Secara rasminya, aku sudah bergelar ibu.

Asiah Awatiff... dari lahir hinggalah berusia setahun...

Setahun Berlalu

Asiah Awatiff puteri sulung Mama dan Abah…

Tanpa disedari, sudah setahun berlalu. Bukan sedikit air mata yang tumpah. Bukan sedikit wang yang dibelanjakan. Bukan sedikit tenaga dan masa yang dicurahkan. Namun, kami tidak pernah kisah semua itu. Harapan kami hanyalah agar Asiah bisa menjadi seorang anak yang solehah serta daie yang berjuang di jalanNya.. menjadi contoh buat adik-adikmu, juga masyarakat di sekitarmu. Mama dan Abah akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan tarbiyah yang terbaik buatmu..

Selamat Hari Lahir pertama, sayang…