Tarbiyah Tart Telur

“Alaa, senang je buat tart telur ni. Apa susah, budak kecil pun boleh buat. Buka internet, cari resepi, sediakan bahan-bahan, ikut resepi, siaplah..”

Cakap memang senang. Cuba buat tengok?? Haa.. acu cubo try test (bak kata Dij).

Saya pernah sebelum ini menulis entry tentang Tarbiyah Rebung Buluh. Entry kali ini saya nak ubah angin sikit jadi Tarbiyah Tart Telur. Kedua-duanya tentang tarbiyah, tapi dengan point of view yang sedikit berbeza.

Kenapa Tart Telur?

Semalam, dapat SMS dari Hamizah. Dia ajak datang ke rumah untuk iftor dan acara makan-makan sikit. Bagai orang mengantuk disorong bantal, hehe.. tapi saya memang niat nak jumpa mereka. Rindu sebenarnya.

Saya tiba awal di rumah mereka, masing-masing sedang sibuk memasak lagi. Tapi dah nak siaplah. So, saya dan Asiah ambil port di depan. Wah, egg tart in the making! Terus saya tumpang sekaki dan setangan. Itulah alkisahnya.

Masih Belum Faham…

Masih belum faham kaitannya dengan tarbiyah?

Tarbiyah kan maknanya mendidik diri. Mendidik diri hingga jadi yang terbaik. Baik pada Allah mahupun pada manusia. Apa sahaja yang mendidik diri itulah tarbiyah. Jangan sempitkan minda tarbiyah hanya dengan mempelajari ilmu dari kitab-kitab.

Tarbiyah Satu- Peribadi Muslim

Masak-masak juga tarbiyah buat kita. Mendidik kita menjadi qodirun ‘alalkasbi (berdikari) dan nafi’un li ghayrihi (bermanfaat buat orang lain). Selaras dengan 10 sifat peribadi muslim yang patut ada pada diri kita.

Seorang daie memang kena pandai berdikari, barulah anak-anak buah boleh bergantung harap. Kalau tak, diri sendiri entah ke mana.. anak buah apatah lagi (tazkirah buat diri sendiri). Bila kita sudah terlalu biasa bergantung pada orang lain, bimbang nanti bila keseorangan tak pandai nak berdiri sendiri.

Selain itu, daie juga bukan setakat hidup untuk diri sendiri. Tetapi hidupnya juga untuk orang lain. Itulah daie yang sebenar, sentiasa memberi manfaat dan kesan buat orang sekelilingnya.. (MasyaAllah, mudah-mudahan kita juga dapat jadi seperti ini).

Tarbiyah Dua- Jalan ke Hati

Makanan mengikat hati. Ya, dengan makanan hubungan bisa terjalin, ukhuwah bisa erat, hati bisa mencintai antara satu sama lain, lillahi ta’ala

Mudah kan? Tak perlu belanja yang banyak pun. Tak perlu bersusah payah pun. Tak perlu ‘ayat-ayat’ pun. Cukuplah sekadar menghidangkan sedikit air tangan kita buat adik-adik yang sudah pastinya sentiasa rindukan masakan ibu mereka. InsyaAllah hati mereka akan terpaut.

Tarbiyah Tiga- BM

Ini mesej khusus buat akhawat (umum buat ikhwah). Akhawat kena pandai masak. Simple pun jadilah. Penting!

Untuk menapak ke anak tangga seterusnya, ke alam rumahtangga (Baitul Muslim)… memasak merupakan salah satu elemen yang perlu dititik beratkan. Janganlah kita sekadar jadi akhawat yang hebat di medan dakwah, tetapi kecundang di dapur.

Selain menjadi isteri solehah buat suami, kita juga kena ber’fikir’ untuk menjadi ibu mithali buat anak-anak. Seorang ibu yang menyediakan ‘air tangan’nya buat anak-anak juga merupakan satu elemen tarbiyah terpenting. ‘Air tangan’ ibu yang diyakini sumbernya, kehalalannya, kebersihannya amat penting untuk pembesaran anak-anak selain dari ikatan hati yang tak boleh dibeli di mana-mana. Tak hairanlah walaupun dah besar panjang, kita selalu rindu masakan emak sendiri.

Tarbiyah Empat- Jalan Dakwah

Nak buat tart telur ada bahan-bahan khususnya, ada juga cara-cara yang tersendiri. Salah teknik mungkin boleh jadi pai kastard. Tarbiyah juga begitu. Ada manhaj dan caranya yang tersendiri. Jika mahukan hasil yang men’jadi’, kenalah ikut manhaj dan cara yang betul.

Cubaan pertama mungkin tak menjadi...

Nak buat tart telur, kena sabar. Mungkin cubaan pertama tak menjadi. Cubaan kedua tiba-tiba hangit. Cubaan ketiga pula lembik. Cubalah dan terus mencuba. Jangan mudah berputus asa. Itulah sunnah dakwah, jalannya panjang, meletihkan, penuh onak duri. Tidak dihampar dengan permaidani merah, apatah lagi ditabur mawar yang indah. Kita ingin membentuk ‘manusia’ menjadi ‘manusia’. Seribu kali lebih susah dari buat tart telur. Maka, kesabaran kita pun mestilah seribu kali ganda dari itu.

Sekali ajak, dia menolak. Belum bersedia.  Kali kedua ajak, dia minta maaf. Mahu tumpu study. Kali ketiga ajak, dia mengelak. Busy. Janganlah berputus asa. Teruskan mengajak. Mungkin hari ini dia menolak, tapi mana tahu esok dia menerima. Motivasikanlah diri dengan ‘Allah melihat usaha, bukan hasil’

Allah melihat usaha kita, bukannya hasil... hasil itu 'bonus'

*credit to Ira for the title… credits to my dearest sisters for the amazingly delicious full-set-meal ^_^