Hanya Allah Sebaik-baik Perancang

Indahnya ciptaan Allah (pic: Pantai Tg. Balau, Kota Tinggi, Johor)

Sebulan setengah saya di Malaysia terasa begitu ‘padat’. Mana tidaknya, saya bukan pulang bercuti pun. Tapi saya pulang kali ini ada tugas. Tugas untuk memantapkan lagi clinical skills dengan attachment selama dua bulan di hospital tempatan, di samping membiasakan diri dengan suasana kerja sebenar di Malaysia. Minggu ini baru boleh menarik nafas lega setelah tamat praktikal. Bolehlah berehat sebentar sebelum memulakan posting Paediatrics yang sangat mencabar.

 

Beberapa Episod Tarbiyah

Beberapa peristiwa yang berlaku dalam hidup saya akhir-akhir ini sangat menginsafkan saya. Kita sebagai manusia di dunia ini hanyalah hambaNya yang telah dihidupkan di dunia menurut kehendak dan aturanNya. Dek kerana akal kita yang terbatas serta ilmu kita yang terlalu sedikit ini, kita hanya mampu merancang dan berusaha. Selebihnya, terletak pada perancangan Allah yang maha mengetahui. Logiknya, Allah pencipta kita. Sudah tentu Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Kita pula sebagai manusia, kenalah sentiasa redha dengan takdir Allah samada baik atau buruk. Tapi jangan pula terlampau bergantung pada takdir sampai tak buat apa-apa.

 

Episod 1

Sebulan yang lalu.. selepas berhempas pulas study, exam, kemudian sibuk berkemas rumah, pulang ke Malaysia dalam keadaan letih, rehat sehari.. terus mula praktikal di HTAR, Klang. Hospital yang terkenal dengan ke’sibuk’annya. Lemah longlai jugalah dibuatnya, praktikal di bulan puasa pula tu.

Walaupun saya taklah terlalu focus pada praktikal tersebut (sebab otak fikir nak cuti saja), banyak juga benda baru yang saya belajar. Kalau setakat nak cucuk-cucuk orang atau cuci-cuci luka tu kira dah boleh lepaslah.

Seminggu selepas tu.. macam tak percaya dengan apa yang saya lihat. Pregnancy Test yang saya buat ‘positive’. Tak percaya punya pasal, saya repeat sampai tiga kali. Semuanya positive. Patutlah akhir-akhir ni saya selalu rasa tak sedap badan terutamanya bila ward round pagi-pagi. Waktu tu, hanya Allah yang tahu perasaan saya. Bukanlah saya tak gembira dengan berita gembira tersebut, tapi ia di luar perancangan saya. Kalau dibuat perkiraan EDD (Expected Date of Delivary) melalui LMP (Last Menstrual Period), saya akan bersalin hujung bulan April ketika Final Exam final year tahun depan.

Abang kata, mungkin Allah lebih tahu apa yang kita tak tahu. Kami sudah pun mengambil langkah untuk merancang keluarga, maka ini adalah ketentuan dari Allah yang terbaik buat kami. Abang berjanji untuk berada di sisi saya, membantu saya menghadapi semua ini. Saya rasa tenang dan menerimanya dengan redha.

 

Episod 2

Semakin hari, perasaan sayang terhadap ‘insan baru’ ini semakin bercambah. Hati saya terasa sayu setiap kali membaca surah Yusuf dan surah Maryam. Mudah-mudahan saya dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada diri ini dan menyediakan tarbiyah yang terbaik buat zuriat ini sejak dari awal lagi.

Hari terakhir praktikal di HTAR, saya pulang agak lewat dari biasa. Memang terasa sangat penat. Pulang ke rumah, saya perasan ada ‘spotting’. Risau juga, takkanlah tiba-tiba period. Saya kan tengah mengandung. Tapi teringat ada orang kata, biasa je kalau ada spotting macam tu. Mungkin sebab penat sangat.

Pulang beraya di Johor, beraya sakanlah juga. Makan macam-macam. Tak sedar diri berbadan dua. Raya kedua, terus sakit perut yang agak teruk. Ummi & Tok Wan marah sebab saya tak jaga makan. Maklumlah, pregnant & berpantang sebelum ni tak ada siapa nak ingatkan pasal makanan-makanan pantang ni. Balik Malaysia pun bukan selalu, tu yang bantai je makanan. Pantang nampak orang kata, bukannya pantang makan.

Aidilfitri 2010 bersama keluarga di kampung Johor

Raya kelima, pulang ke Kedah. Sambung beraya di rumah saudara mara sebelah suami. Boleh tahan juga ke’aktif’an saya ke sana-sini. Mungkin dah biasa aktif macam ni di Jordan. Memang tak reti nak duduk diam kat rumah. Morning sickness memang tak ada. Waktu mengandung Asiah pun lebih kurang macam ni jugalah. Saya mula loya-loya sikit pun lepas 3 bulan pregnant.

Raya ketujuh, saya ikut suami beraya di rumah cikgu sekolahnya dulu. Ketika beraya tu, tiba-tiba darah keluar agak banyak. Saya jadi risau. Rahim pun dah mula rasa contraction.

Pulang dari beraya, darah semakin banyak. Badan saya pula makin lesu. Panik tak usah kata. Suami saya call Dr. Z minta pendapat. Doktor kata mungkin abortion. Dia minta kami segera ke hospital.

Petang itu, kami bergegas ke hospital. Sepanjang perjalanan sakit saya semakin menjadi-jadi. Dalam hati saya sudah menjangka sebarang kemungkinan yang berlaku. Sampai di Emergency Dept HSAH Sg. Petani, saya dimasukkan ke zon kuning dan di’admit‘ ke wad.

Ketika ditahan di Wad Kenanga 9, Hospital Sultan Abd Halim, Sg. Petani Kedah

Pendarahan semakin banyak dan contraction makin menjadi-jadi. Tak lama selepas saya berada di wad, saya terasa seperti satu ketulan keluar. Sakit pun beransur hilang. Memang confirmlah saya gugur. Bila doktor scan, katanya rahim dah kosong. Complete abortionAlhamdulillah ‘ala kulli hal. Sekurang-kurangnya, tak perlu buat D&C. Sedih juga atas kehilangan tersebut. Tapi saya kuatkan hati, Allah lebih tahu.

 

Episod 3

Saya ber’cuti’ seminggu selepas keguguran tersebut. Rasa tak seronok nak mula balik praktikal. Risau terlalu penat, risau dimarah, dan macam-macam lagi. Kali ini saya praktikal di Kedah pula. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya. Suasana kerja di klinik ENT HSAH ini sangat menambat hati saya. Staf-staf di sini ramah menegur dan bersembang dengan saya. Melayan saya dengan sangat baik, siap buatkan teh tarik untuk saya sarapan. Memberi tunjuk ajar itu dan ini. Rasa macam puteri. Jauh beza dengan suasana di Klang, di mana saya kena pandai-pandai sendiri untuk belajar.

 

Episod 4

Saya menghadiri majlis konvokesyen Ummi saya minggu lepas. Alhamdulillah, Ummi telah berjaya menjadi seorang doktor falsafah dalam ekonomi/perbankan Islam. Kata Ummi, bukan sedikit air mata yang tumpah untuk meraih kejayaan ini. Saya secara jujurnya sangat kagum dengan semangat Ummi yang gigih meneruskan pembelajaran hingga ke peringkat yang tinggi. Pelbagai onak Ummi hadapi sepanjang tempoh itu. Akhirnya, Allah ganjari Ummi dengan kejayaan.

Saya yakin Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya yang berusaha. InsyaAllah saya akan jadi seperti Ummi. Ummi telah buktikan bahawa keluarga, kerjaya & dakwah bukanlah penghalang untuk berjaya.

Konvo Ummi di UIAM, Gombak

 

Setiap Kejadian Ada Pengajaran

Jika ingin dinukilkan, terlalu banyak sebenarnya pengajaran yang kita dapat sepanjang melalui sekolah hidup ini. Setiap detik itu ada pengajarannya yang tersendiri.

Alhamdulillah, 12/10/10 genaplah usia saya 23 tahun melalui tarbiyah madrasah hayah ini. Saya berdoa pada Allah agar setiap detik usia saya ini mendapat redhaNya… Ameen..