Ikhlas Berkorban

Berlalu sudah perayaan besar umat Islam sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ismail a.s yang merelakan dirinya dikorbankan ayahnya sendiri hanya kerana mematuhi perintah Allah S.W.T. Tanpa sedikit pun mempersoalkan arahan tersebut, apatah lagi mengingkarinya.. MasyaAllah, sanggupkah kita berkorban sedemikian rupa?

Saban tahun kita meraikan ‘Eid Adha. Saban tahun juga ada yang diberi kelebihan rezeki melakukan ibadah korban. Ada pula yang diberi lebih lagi rezeki untuk menunaikan ibadah haji. Alhamdulillah, jutaan kesyukuran atas nikmat yang diberi. Bagi yang masih belum berpeluang, masih banyak lagi cara untuk kita berkorban lillahi taála dan mendapat pahala yang besar.

Berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban meninggalkan kehangatan hiram untuk menunaikan solat Subuh di masjid?

Berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban lena tidur malam demi menghafal & menelaah pelajaran?

Berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban dengan ’puasa’ FB untuk ziarah sahabat di alam nyata?

Berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban wang saku bulanannya untuk derma Palestin?

Banyak lagi perkara yang masih belum mampu kita korbankan.. Korban dalam erti kata sebenar adalah kita memberikan apa yang kita suka/sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hanya redha Allah yang kita damba. Bukan mudah bukan?

Tetapi, tarbiyah Rasulullah terhadap para sahabat telah membuktikan bahawa pengorbanan lillahi taála itu tidak mustahil. Saidina Umar menyerahkan separuh hartanya di jalan Allah tanpa banyak soal. Saidina Abu Bakar pula menginfaqkan seluruh hartanya di jalan Allah tanpa meninggalkan sedikit pun buat keluarganya. Mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan, nama atau populariti. Apa yang mereka harapkan hanyalah redha Allah.

“Ikhlas itu ibarat semut hitam, yang berjalan di atas batu yang hitam, pada malam yang gelap gelita..”

Bukanlah kuantiti yang dilihat oleh Allah, tetapi kualiti itu lebih utama.. Memang tak mudah untuk ikhlas, tetapi sama-samalah kita berusaha untuk ikhlas.. Moga Allah redha..

Aidil Adha di bumi Jordan

Selepas solat raya di Masjid Taal

Terasa kemeriahannya walaupun berada jauh di perantauan. Apatah lagi dengan budaya Arab yang benar-benar meraikan Aidil Adha sama seperti Aidil Fitri. Kami di Jordan seperti biasa beraya awal sehari berbanding Malaysia.. Awal-awal pagi lagi sudah keluar rumah menempuh kesejukan menuju ke Masjid Taal untuk menunaikan solat raya. Kalau keluar lambat, susahlah nak dapat tempat. Asiah yang sedang nyenyak tidur terpaksa dikejutkan sekali untuk ke masjid. Alhamdulillah, sepanjang saya solat raya Asiah setia duduk di sisi mamanya tanpa bersuara sedikit pun.

“Kullu áam wa antum bikhayr…,” ucap mak cik Arab di sebelah saya usai solat raya. Masing-masing sibuk bersalam-salaman dan mengucapkan doa ini antara satu sama lain. Mak cik-mak cik Arab juga tidak ketinggalan bersalam-salaman dengan kami pelajar-pelajar Melayu ini. Ada juga kanak-kanak Arab yang sibuk mengedar coklat berserta ucapan hari raya kepada semua yang hadir. Ruh hari raya benar-benar terasa. Pasti saya akan merindui suasana ini kelak..

Selepas itu, bertebaranlah pelajar-pelajar Melayu keluar be’raya’ di rumah kawan-kawan. Banyak juga ‘open house’ yang dibuat. Saya juga berkesempatan be’raya’ di rumah Teta Asiah. Teta sangat gembira dengan kedatangan kami.

Sibuk menyediakan jamuan raya

Malam itu, kami ke Masjid Taal sekali lagi untuk menghadiri majlis akad nikah seorang adik saya Amani Amran. Penuh masjid tersebut dengan ‘student-student’ yang tak mahu ketinggalan menyaksikan hari bersejarah itu. Tahniah Amani.. Baarakallahu lakuma wa baraka álaikum wa jamaá bainakuma fil khayr..

Alhamdulillah, semalam dapat ber’Skype’ dengan keluarga di Malaysia setelah beberapa hari tertangguh dek masalah internet di rumah kami. Dapatlah saya melepaskan rindu buat mereka. Ummi & Abi serta Ummi & Baba, doakan kami dipermudahkan dalam perjuangan kami menuntut ilmu dan meraih redha Allah di bumi barakah ini.. Semoga kejayaan kami memberi manfaat untuk Islam.. Ameen..