Post-exam Syndrome

Kosong. Sunyi. Bosan. Tak tahu nak buat apa. Kalau biasanya pagi-pagi begini sudah terpacak di meja menelaah nota-nota yang menggunung. Tapi hari ini terasa kosong..

 

Inilah fenomena biasa post-exam syndrome. Ketika minggu peperiksaan berlangsung, pagi petang siang malam menghadap buku. Selesai saja peperiksaan, mati kutu dibuatnya. Maka masing-masing mulalah mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan tersebut.

 

Hidup Bermatlamat

Berbeza sekali dengan mereka yang punya matlamat yang jelas dalam hidup. Hidup bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, grad, bekerja, dan berkeluarga seperti manusia kebanyakannya. Tetapi hidup yang punyai agenda lebih besar dari itu. Iaitu agenda untuk mengembalikan kegemilangan Islam yang sudah lama terkubur.

Orang yang beragenda seperti ini hidupnya tidak pernah kosong. Tidak pernah ada masa lapang untuk dia duduk bersantai. Bahkan tidak akan ada ruang untuk dia bergelak ketawa. Apatah lagi untuk qadha tidur.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” …

[al-Baqarah: 30]

 

Siapa lagi khalifah itu kalau bukan kita. Ia merupakan satu amanah besar yang tertanggung di atas bahu kita semua. Mana mungkin kita boleh bergoyang kaki selagi tugas-tugas besar ini belum terlaksana.

 

Ujian Sebenar

“Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: Kesihatan dan kelapangan masa.”

[Fathul Bari: 11/29/6412, Tuhfatul Ahwazi: 6/589/2405]

 

Kelapangan waktu dan kerehatan berpanjangan inilah ujian sebenar bagi kita. Di sinilah Allah mahu menguji sejauh mana istiqamah kita untuk menunaikan solat di awal waktu serta menadah tangan bermunajat kepadaNya. Adakah munajat kita di malam hari sebelum ini hanya semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan?

 

Kalau di musim peperiksaan dahulu, kita menjadikan alasan ‘study’ untuk tidak ke masjid. Adakah sesudah peperiksaan ini kita ke masjid setiap waktu? Kalau dulu, kita mengurangkan waktu membaca al-Quran untuk beri laluan pada buku pelajaran. Tetapi adakah selepas selesainya peperiksaan ini tempoh membaca al-Quran kita bertambah?

 

Janganlah kita menjadi manusia yang hanya tahu berdoa dan meletakkan pergantungan kepada Allah hanya di saat-saat genting. Tetapi jadilah orang yang sentiasa ada Allah di hatinya dalam setiap perbuatannya.

 

Riwayat dari Ibn Abi Dunya dari Salman al-Farisi, berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki telah dilimpahkan untuknya kemewahan hidup dunia. Tiba-tiba apa yang dimilikinya dicabut daripadanya. Lalu dia memuji dan memuja Allah SWT sehingga dia tidak mempunyai apa-apa hamparan melainkan sehelai tikar. Namun dia tetap memuji dan memuja Allah.

Seorang lelaki lain pula telah dilimpahkan untuknya kesenangan dunia. Lalu dia bertanya kepada pemilik tikar itu: “Beritahu kepadaku, kenapa kamu tetap memuji Allah?

Dia menjawab: Saya memuji Allah atas sesuatu yang jika saya diberikan sebagai gantinya segala apa yang diberikan kepada manusia, saya tidak akan memberikannya kepada mereka.”

Lelaki itu bertanya: “Apakah ia?” Dia menjawab: “Tidakkah kamu melihat penglihatan kamu? Tidakkah kamu melihat lidah kamu? Tidakkah kamu melihat dua tangan kamu? Tidakkah kamu melihat dua kaki kamu? (Jami’ Ulum wal-Hikam)

 

Ujian sebenar buat seseorang adalah di waktu dia senang. Inilah ujian yang paling sukar kerana ia sering tidak disedari. Kita menyangka bahawa inilah nikmat yang harus dinikmati sepenuhnya. Tetapi hakikatnya ia adalah ujian buat kita. Janganlah kita menjadi seperti orang kafir yang bersenang-lenang di dunia kerana kesenangan hakiki buat kita adalah di akhirat nanti..

 

“Dan orang-orang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Muhammad: 12)

 

Jangan Bertangguh

Seorang muslim yang proaktif seharusnya tidak lekat di rumahnya. Dia akan terus bangkit dan bekerja tanpa perlu disuruh-suruh. Manfaatkanlah masa yang ada ini untuk beramal kerana kita tidak tahu bilakah nikmat ini akan ditarik dan kita juga tidak tahu adakah kita akan merasai lagi nikmat ini. Ayuh, keluarlah dari rutin dan segeralah berbuat kebaikan.

 

Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: Rasulullah telah memegang dua bahuku sambil bersabda: “Jadilah kamu di dunia seolah-olah kamu seorang dagang (bermusafir) atau melalui  satu jalan menuju ke satu tempat”. Ibn Umar berkata: “apabila kamu di waktu petang, janganlah tunggu ke waktu pagi, apabila kamu di waktu pagi, janganlah kamu menunggu ke waktu petang. Ambillah peluang semasa kamu sihat sebelum sakit dan semasa kamu hidup sebelum mati”. (Riwayat Bukhari)

Ayuh!!

 

Umm Asiah: Melihat adik-adik semua bercuti, terasa ingin bercuti juga seperti mereka.. Tapi dah tinggal beberapa bulan sahaja lagi.. Harus berusaha gigih!

P/s: Program menarik musim cuti, jangan lepaskan peluang!

JORDAN: Odyssey 2011

 

MALAYSIA: KEMM 1511