Tanda Allah Sayang

Hujan rahmat melimpahi bumi Malaysia sejak semalam, Alhamdulillah.. Bumi Jordan pula khabarnya dilimpahi nikmat salji baru-baru ini. Betapa rindunya pada bumi itu, tempat tersimpannya pelbagai kenangan pahit dan manis diri ini.. yang menjadikan saya seperti saya sekarang.

Alhamdulillah pagi ini Allah berikan peluang pada saya untuk menikmati kesegaran dingin pagi yang cukup menenangkan jiwa. Bila saya membuka kembali laman blog sentuhanjiwa ini ternyata sudah hampir setahun tidak dijengah. Entri terakhir saya adalah seusai final exam di Jordan tahun lepas. Maka bukanlah kesibukan yang menjadi alasan, tetapi bila sudah terlalu lama be’rehat’dari menulis amatlah susah untuk memulakannya kembali.

Terlalu banyak cerita yang terkumpul sepanjang hampir setahun ini. Setiap satunya memberikan impak yang cukup besar dalam mentarbiah diri ini menjadi bukan sekadar ‘manusia’, tetapi ‘rijal’ insyaAllah. Inilah bezanya orang yang beriman. Sentiasa menemui ‘mutiara’ tersembunyi di sebalik selut dan lumpur.

 

Cabaran Sebenar

Tidak dapat dinafikan bahawa ‘medan’ sebenar dakwah kita adalah setelah kita kembali ke tanahair, memulakan kerjaya dan keluarga serta dalam masa yang sama bekerja untuk Jemaah. Dunia ‘Universiti’bagi saya  adalah dunia yang terlalu ‘perfect’ dan selesa. Memang tak dinafikan bahawa kita merasakan bahawa kita ‘laju’ dalam dakwah ketika di Universiti. Tetapi ‘laju’ itu kerana jalan kita masih lurus, lapang tak banyak durinya. Bila sudah masuk ke medan sebenar barulah ramai antara kita yang seolah-olah tersedar dari mimpi ‘dunia sempurna’ itu.

Bukanlah nak menyalahkan ke’selesa’an serta ke’sempurna’an itu, tetapi saya mahu kita sama-sama sediakan diri dan minda untuk menempuh alam yang jauh lebih mencabar. Saya sendiri secara jujur agak terkial-kial pada awalnya. Dengan dunia baru kerjaya sebagai HO yang benar-benar menuntut kekuatan luaran dan dalaman, dengan pelbagai urusan ‘bina keluarga’ yang menuntut komitmen dan wang ringgit. Semua ini memang  memerlukan persediaan awal. Janganlah nanti kerana kejutan budaya kita hanyut dari medan.

 

Allah Knows

Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Dia sentiasa tahu. Alhamdulillah kepercayaan ini menjadikan saya tenang mengahadapi setiap ketentuan yang ditetapkan buat saya. Bagi saya, semua ketetapanNya adalah baik belaka. Kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Kalau dahulu sewaktu zaman anak dara, saya ‘berangan’ untuk berkahwin dengan ikhwah yang lebih tua usianya dari saya dengan harapan biarlah suami saya itu lebih matang dari saya. Tetapi Allah kurniakan saya suami yang sebaya dengan saya. Namun Dia tidak menghampakan hasrat saya. Biarpun suami saya hanya tua beberapa bulan dari saya, tetapi kematangannya dalam banyak perkara amat mengagumkan saya. Alhamdulillah..

Terlalu banyak nikmatNya buat saya sehingga kadangkala saya rasa malu kerana terlalu sedikit saya bersyukur. Dalam limpahan nikmat ini juga saya masih tak henti-henti meminta dariNya. Moga Allah sentiasa beri kekuatan pada saya untuk mengahadapi hari-hari yang mendatang…

 

Ujian Tanda Allah Sayang

Penguat hati saya.. sentiasa percaya dan yakin bahawaAllah sentiasa ingat saya. Cuma saya yang sering lupa padaNya. Sebab itu Dia turunkan ujian sebab Dia sayangkan saya dan mahu saya sentiasa ingat Dia. Allah..

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji?” (QS. 29:2)

Saya sekarang masih lagi dalam fasa bertatih dalam ‘dunia baru’ saya, sebagai seorang doktor, isteri, ibu & daie. Allah kurniakan kami berita gembira 7 bulan lalu apabila saya disahkan hamil setelah dua kali keguguran. Agak risau pada mulanya, dua kali pengalaman gugur menjadikan saya tidak terlalu mengharap. Saya hanya mampu berdoa agar Allah kurniakan yang terbaik buat kami sekeluarga.

Melepasi trimester pertama memberi sedikit kelegaan pada saya. Memang mencabar melalui trimester pertama dalam keadaan baru memulakan kerjaya, ‘tagging’ selama dua minggu memang meletihkan fizikal dan mental. Sampai kadang-kadang terasa mahu menjadi surirumah sahaja, duduk di rumah membesarkan dan mendidik anak-anak. Tapi amanah tetap amanah, perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Trimester kedua, pada awalnya tiada apa-apa yang berlaku. Saya pun sudah mula membiasakan diri dengan suasana kerja dan rutin harian. Tapi sejak masuk trimester kedua ni makin kerap pula ‘morning sickness’. Tak mengapalah, lain anak lain ragamnya.

Saya menjalani ante-natal check up di Hospital Serdang sahaja, mudah untuk pergi. Tak perlu ambil cuti. Tambahan pula saya staff di sini, biasanya tak perlu menunggu pun. Check-up bulan pertama dan kedua, semuanya baik-baik belaka. Alhamdulillah.. Masuk bulan ketiga, doktor mengatakan bahawa bayi saya agak kecil dari usia sepatutnya. Maka EDD (expected date of delivery) saya dikira semula berdasarkan saiz bayi tersebut.

Masuk bulan keempat, doctor pakar tersebut ternampak sesuatu yang agak mencurigakan berdasarkan US scan yang dibuat. Katanya,saiz ventricles di otak agak besar dan paparan jantung pada US kurang cantik. Maka saya di’refer’ pada doctor yang lebih pakar untuk ‘detail scan’.

Di sinilah bermulanya ‘pengalaman’ baru dalam diari hidup saya dan suami. Saya menemui Dr. Zulidah, pakar dari UPM untuk melakukan ‘detail scan’. Setelah ‘detail scan’ dibuat, doctor menemui ‘bilateral Choroid Plexus Cyst’ yang agak besar dalam otak bayi saya. Jantung pula kelihatan tidak normal di situ. Tapi katanya masih terlalu awal untuk mengatakan apa-apa. Doktor mencadangkan saya melakukan ujian ‘amniocentesis’ kerana ditakuti bayi tersebut ada syndrome tertentu.

 Maka pada minggu ke 27, ‘amniocentesis’ dilakukan di HUKM. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Agak mendebarkan juga menanti keputusannya. Fetal echo juga dibuat pada hari yang sama untuk melihat jantung bayi dengan lebih jelas. Ternyata bayi kami ada masalah jantung yang agak serius, DORV (double outlet right ventricle).

Apa pun, kami redha dan berserah pada Allah atas segala ketentuannya. Apa yang kami mampu lakukan hanyalah berdoa dan berdoa moga Allah kurniakan yang terbaik buat kami.

Sementara itu, saya disibukkan dengan beberapa ‘assessment’ yang wajib diselesaikan sebelum menamatkan posting. Alhamdulillah, tiga daripada empat assessment tersebut berjaya saya lakukan. Tiba hari untuk assessment terakhir, saya datang kerja dengan penuh semangat untuk menyelesaikan assessment tersebut. Terlupa pula pada pagi itu saya ada temujanji antenatal. Selepas habis ‘round’ pagi baru teringat. Maka saya bergegas ke klinik O&G untuk temujanji seperti biasa, dengan ‘buku pink’ yang saya tinggalkan di rumah. Tawakal saja.

Kali ini doctor lain yang scan saya. Mujur sedikit sebanyak maklumat tentang bayi saya semuanya direkod dalam computer. Kalau tidak susah juga. Apa yang mengejutkan beliau, saiz bayi saya terlalu kecil berbanding usia kandungan saya yang sudah mencecah 29 minggu. Beliau kemudiannya melakukan ujian Doppler pada umbilical cord (tali pusat) bagi melihat aliran darah pada bayi. Katanya, ‘end-diastolic flow’ sudah tiada dan ada juga ‘reverse fetal blood flow’ di situ. Katanya lagi, biasanya jika berlaku seperti ini bayi berisiko tinggi untuk IUD (Intara-Uterine Death/ mati dalam kandungan). Dia menyarankan saya bertemu dengan Dr. Zulidah petang itu juga.

Segera saya beritahu suami saya tentang hal ini. Assessment saya petang itu juga terpaksa saya batalkan. Dengan debaran, kami menemui Dr Zulidah petang itu. Keputusan ujian ‘amniocentesis’ itu juga sudah keluar. Disahkan bahawa bayi dalam kandungan saya memiliki ‘Edward Syndrome’, sindrom yang tak ‘compatible with life’. Bayi yang ada sindrom ini biasanya samada akan mati dalam kandungan atau mati tidak lama selepas lahir.

Berderai juga empangan airmata saya ketika itu. Saya yang selama ini pandai mengawal emosi di hadapan orang akhirnya tertewas. Mujur suami saya bijak menenangkan perasaan saya. Pada mulanya, doktor mencadangkan agar kandungan ini dihentikan dengan segera. Saya terima dengan redha. Tapi setelah berbincang dengan pakar lain, mereka tidak berani untuk ’induce’ kelahiran memandangkan saya pernah C-sec sebelum ini dan kandungan saya pun sudah 29 minggu. Bimbang komplikasi lain pula akan berlaku.

Saya diberi MC seminggu untuk berehat dan menenangkan emosi. Alhamdulillah saya semakin tenang menerima ujian ini. Terima kasih Allah kerana menghadirkan insan-insan yang sentiasa meyokong dan memberikan kekuatan pada saya. Terutama sekali suami dan anak tercinta, yang sentiasa memujuk dan menenangkan saya bila saya gundah. Mohon doa dari semua agar proses kelahiran ini dipermudahkan…