Berbahagialah ‘Abdullah ‘Azzam

Image

Pergilah Sayang…

Bukan mudah untuk menerima hakikat sebuah kehilangan. Walaupun kita sendiri sedar bahawa semua benda adalah sekadar pinjaman, termasuklah diri kita sendiri.. Setiap yang datang pasti akan pergi, setiap yang bermula pasti akan berakhir, setiap yang hidup pasti akan mati.

Sudah lebih seminggu jenazah ‘Abdullah ‘Azzam selamat disemadikan. Sudah lebih seminggu juga saya berpantang. Terasa agak sunyi dan janggal tanpa ada tangisan bayi, terutamanya bila semua orang pergi kerja. Syukurlah ada puteri sulung yang keletah serta menghiburkan hati. Dialah yang sering memujuk saya jika saya bersedih.

 

Diari ‘Abdullah ‘Azzam

Setelah menerima berita tentang kondisi anak saya awal bulan lepas, saya dan suami masing-masing menerima berita itu dengan redha. Bagi kami, ini bukan satu musibah. Tetapi ini adalah satu pengalaman berharga buat kami. Allah bagi peluang pada kami untuk jadi insan yang lebih kuat, lebih sabar, dan lebih dekat denganNya. Alhamdulillah, keluarga dan rakan-rakan sekeliling memberikan sokongan padu buat kami.

Tamat cuti seminggu yang diberikan pada saya tempohari, saya memulakan kerja seperti biasa. Hidup mesti diteruskan. Alhamdulillah, sedikit sebanyak hati saya mula terubat. Allah juga aturkan saya untuk bertemu dengan seorang ibu yang anaknya juga menghadapi masalah yang sama. Pelbagai cerita dikongsi dengan saya. Anaknya kini sudah berusia 8 bulan, subhanallah. Begitu tabah ibu itu menjaga dan membesarkan anaknya.

Jauh di sudut hati saya menyimpan sedikit harapan untuk melihat anak saya ini hidup biarpun seketika walaupun saya tahu harapan itu sangat tipis. Tetapi siapa tahu kuasa Allah. Saban hari saya berdoa moga Allah kurniakan yang terbaik buat kami sekeluarga. Saya memanfaatkan sebaik mungkin masa berbaki yang ada bersama mujahid ini, berbicara dengannya saban hari. Asiah juga sudah kami biasakan dengan kehadiran ‘adik’nya ini. Setiap hari pasti dia akan memeluk dan mencium perut saya sambil berkata, ‘Saayang ‘Azzam’. Saya pesan pada Asiah, adiknya ini tak sihat. Dia mungkin tak dapat hidup lama. Entah dia faham atau tidak. Tapi biarlah ada sedikit memori tentangnya  tercatat dalam diari kami sekeluarga. Kehadirannya walaupun sebentar sangat bermakna buat kami.

 

Takdir Allah itu yang terbaik

Hari Isnin 26 April, seperti biasa saya menghadiri ‘routine antenatal check-up’yang dijadualkan pada saya setiap dua minggu. Kebetulan hari itu saya bertugas di klinik. Habis klinik saya terus ke klinik O&G dengan perasaan tak sabar ingin mengetahui khabar si kecil. Dr. Zulidah seperti biasa menyambut saya dengan wajahnya yang menenangkan itu. Routine scan dibuat seperti biasa. Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila doctor tidak dapat menemukan degupan jantung bayi. Sedangkan saya tidak perasan langsung kurangnya pergerakan bayi.

Saya menerima berita itu dengan wajah tenang. Tetapi hati saya hanya Allah yang tahu. Terasa begitu sesak dada ini menahan sebak. Terus saya beritakan pada Abu Asiah melalui SMS kerana saya tak mampu bercakap saat itu.

‘Abah, ‘Azzam dah tiada.. Allah lebih sayangkan dia..’

Petang itu juga saya ditahan di wad untuk ‘induce’ kelahiran memandangkan bayi yang sudah mati dalam kandungan (Intra-Uterine Death). Semalaman juga saya menanti di wad, tapi tiada seorang pun doctor yang datang memeriksa saya. Pagi itu barulah Dr. Zulidah datang memeriksa dan ‘decide’ kaedah induction yang sesuai untuk saya.

Dua hari juga saya menunggu setelah ‘induction’ dimulakan. Dua kali Prostin yang dimasukkan seakan-akan tidak memberi apa-apa kesan. Betapa peritnya menunggu. Terutamanya bila melihat ‘jiran-jiran’ sebelah yang selamat melahirkan anak masing-masing, mendengar tangisan suci bayi-bayi yang baru lahir, cukup untuk membuatkan hati ini begitu tersentuh. Sudah lali dengan soalan, kenapa masuk hospital? Saya hanya mampu tersenyum dan menjawab, ‘Baby dah meninggal dalam perut’. Masing-masing pasti menunjukkan reaksi terkejut. Iyalah, orang lain masuk wad untuk bersalin anak yang hidup tetapi saya tidak.

Hari ketiga saya di wad, doctor memasukkan ubat jenis lain pula. Seawal jam 6 pagi ubat dimasukkan. Bukaan ketika itu baru 1cm. Saya berdoa dalam hati, moga-moga cubaan kali ini berjaya. Biarlah anak ini tenang bertemu Rabbnya. Alhamdulillah, tak lama selepas Cervagem itu dimasukkan, saya mula terasa ‘contraction’. Pada mulanya ‘irregular’, tetapi makin lama makin kerap. Ya, Allah permudahkanlah..

Lebih kurang jam 12 tengahari selepas tamat ‘round’, doctor kembali melakukan pemeriksaan. Katanya bukaan masih 1cm tetapi serviks sudah semakin matang. Sakit ketika itu semakin kuat dan kerap sehingga Pethidine yang dicucuk pun tak memberi apa-apa kesan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, saya memanggil nurse kerana sakit yang semakin menjadi-jadi. Bila diperiksa, bukaan sudah pun 4cm. Maka saya terus dikejarkan ke bilik bersalin yang terletak di tingkat bawah. Nurse di bawah kelihatan tenang mengambil ‘vital sign’ sebagai rutin. Baru 4cm, tiada apa yang perlu digesakan. Tetapi tidak buat saya. Sejak mereka sorong saya ke bawah tadi saya sudah rasa sakit seperti mahu meneran. Lantas saya beritahu salah seorang staf di situ untuk segera memanggil doctor. Segalanya berlaku dengan pantas. Alhamdulillah saya selamat melahirkan mujahid ahlul jannah pada jam 3.20 petang.

Sunyi. Tiada tangisan kedengaran. Nurse menunjukkan bayi itu kepada saya. Tak dapat nak digambarkan perasaan saya ketika itu. Pertama kali melihat wajah si kecil yang sudah hampir 8 bulan bersama saya. Sungguh unik perasaan itu, walaupun si kecil itu sudah kaku tak bernyawa.

Berbahagialah wahai ahli syurga

30 Mac 2012- Hari Jumaat, penghulu segala hari. Mujahid kesayangan ‘Abdullah ‘Azzam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Batu Belah, Klang. Kami iringi pemergianmu dengan tenang dan redha, setenang rohmu yang telah dijemput Ilahi. Kehadiranmu walaupun sebentar memberi makna yang sangat besar dalam hidup kami. Semoga kita bertemu kembali di syurga nanti..

“Cukuplah mati sebagai peringatan…”