Hidup Tanpa Agenda

Image

Pernahkah kita merasa bahawa kehidupan harian kita seolah-olah kitaran sama yang berulang setiap hari?

Bangun awal pagi, solat Subuh dan bersiap untuk kerja..

Pergi kerja, buat kerja..

Pulang ke rumah..

Rehat, makan malam, dan tidur..

Kitaran yang sama berulang lagi esok hinggalah tiba hujung minggu.

Hujung minggu,berehat, bersosial, meluangkan masa dengan keluarga..

Hari Isnin, kembali bekerja. Hidup kembali dengan ‘kitaran’ biasa.

Selesakah kita dengan kitaran hidup kita sekarang? Hidup ikut ‘flow’ sahaja. Tiada agenda sendiri. Lepas SPM, masuk Universiti, dapat sijil, kerja, beli kereta, beli rumah, kahwin, dapat anak, mati. Hidup seperti orang kebanyakan. Hidup untuk diri sendiri.

Memang bahagia terutamanya bila kita sudah berjaya dalam kerjaya, gaji pun besar,anak-anak ramai, hidup senang, nak apa pun dapat. Tapi itu sahajalah yang kita dapat sebenarnya. Semuanya hanya untuk diri sendiri. Tiada sumbangan pada masyarakat, tiada sumbangan pada agama. Akhirnya kita mati, sesen pun dari harta yang kita kumpul itu tak boleh dibawa bersama.

 

Agenda Penentu Amal

Ramai yang tidak sedar betapa pentingnya hidup beragenda. Samalah seperti main bola sepak, jika tiada tiang gol permainan itu akan jadi sia-sia sahaja. Tetapi dengan adanya gol itu sebagai matlamat, sudah tentulah para pemain akan berusaha dan berlumba-lumba untuk menjaringkan gol buat kumpulan masing-masing. Dan jika kumpulan tersebut juga mempunyai agenda tersendiri untuk menjadi kumpulan terbaik Negara/ dunia, sudah tentulah mereka akan menyusun strategi dan berlatih siang malam untuk mencapai agenda itu.

Sesuatu tindakan tanpa tujuan juga adalah tindakan yang sia-sia. Bak kata pepatah, seperti mencurah air ke daun keladi. Bahkan mugkin boleh mendatangkan kesan buruk. Cuba bayangkan kalau kita menembak tanpa sasaran, membazir peluru saja. Kita mugkin boleh tertembak orang/ objek lain secara rambang sekali gus membahayakan orang sekeliling.

Nah, sudah jelas lagi nyata. Betapa pentingnya hidup beragenda. Agenda kita akan menentukan tindakan kita. Semakin besar agenda kita, nescaya semakin berlipat gandalah usaha dan amal kita untuk mencapai agenda tersebut. Sebab itulah orang yang beragenda dalam hidupnya tak betah duduk diam. Hidupnya tak akan pernah kosong. Hujung minggunya sentiasa penuh.  Tak akan wujud lagi waktu yang kita terasa ‘boring tak tahu nak buat apa’.

 Image

Antara Amal dan Natijah

Secara formulanya, natijah berkadar langsung dengan amal. Itulah yang sering kita harapkan dari setiap titisan peluh yang telah dilaburkan. Namun tidak semua keadaan akan jadi se’ideal’ yang kita harapkan.

Apa yang penting, teruskan AMAL.

Kadangkala, kita bersusah payah mengorbankan masa, waktu rehat, duit dsb untuk mendekati seorang mad’u. Berbulan lamanya kita ambil masa. Tetapi akhirnya dia tinggalkan kita begitu sahaja.

Jangan bersedih, jangan mengalah. Sesungguhnya setiap usaha kita yang ikhlas itu bernilai di sisiNya. Bukanlah hasil itu yang Allah akan tanya, tetapi apa yang kita sudah buat itu yang penting.

Berapa orang berjaya kita Islamkan?

Berapa orang berjaya kita ‘tarbiah’?

Berapa besar ‘kawasan takluk’ kita?

Semua itu tak penting sebagai natijah (tapi penting untuk ‘target’), yang penting adalah usaha kita. Kalau nak diikutkan natijah semata, berapa ramai sangatlah umat Islam di zaman Rasulullah berbanding zaman selepasnya.

TETAPI hasil dua pertiga dunia di zaman Abbasiah itulah hasil daripada usaha gigih Rasulullah dan para sahabat di zaman Mekah-Madinah.

 

Tetapkan Agenda, Luruskan Niat

Jika kita masih terkongkong dalam ‘rutin’, belum ada agenda, belum ada matlamat, mulalah dari sekarang. Tetapkanlah agenda hidup kita dan beramallah untuknya. Jangan lupa juga untuk sentiasa memperbaharui niat kita kerana Allah. Biarlah setiap rutin yang kita lakukan itu dikira sebagai ibadah. Semoga Allah mengira setiap usaha kita dan menjadi saham untuk kita di akhirat nanti.

Selamat beramal!